Buletin

PROTON MULAKAN PROSES VAKSINASI SEMUA KAKITANGAN DI TANJUNG MALIM DAN SHAH ALAM

PROTON telah memulakan proses vaksinasi bagi semua kakitangannya semalam.  Pekerja yang bertugas di Tanjung Malim dan Shah Alam yang belum divaksinasi akan mendapat temu janji melalui applikasi MySejahtera.

Program tersebut bakal berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang mendaftar untuk memperoleh vaksin akan mendapatkan dos pertama mereka.

Bagi mempercepatkan usaha di Tanjung Malim, syarikat telah bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri dan Persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai pusat pemberian vaksin industri (PPVIN). 

Dengan kapasiti maksimum harian lebih kurang 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan warga PROTON serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin mereka.

Bagi kakitangan di Shah Alam pula, mereka akan mendapat vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kerana kekangan ruang yang besar dan syarat pematuhan SOP diperlukan oleh PROTON untuk mewujudkan PPV sementara.

“PROTON berharap dengan proses vaksinasi warga kerja, kami akan membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia. Dengan inisiatif sama dari syarikat lain, ia mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Proses vaksinasi akan diulang semula tiga minggu lagi bagi membolehkan warga PROTON mendapatkan dos kedua mereka. Syarikat menjangkakan kebanyakan kakitangan mereka akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos. 

GALERI

Google ads
Back to top button