
PROTON S70 R3 SEDIA BERENTAP DI PERLUMBAAN KETAHANAN 1000KM SEPANG 2024
PROTON secara rasmi memperkenalkan kereta yang bakal bertanding di Perlumbaan Ketahanan 1000km Sepang 2024, dengan misi untuk menambah rekod enam kemenangan mereka dalam acara perlumbaan utama Malaysia ini.
Model Proton S70 R3 pertama kali diperkenalkan kepada umum semasa Pameran Automotif Malaysia 2024 pada Mei yang lalu.
Selain itu, PROTON turut berkongsi video pembangunan kereta ini melalui saluran media sosial mereka pada 1 Oktober.
Kini, PROTON telah mendedahkan imej rasmi model tersebut sebelum kereta ini dilengkapi dengan pelapisan perlumbaan.

Ditubuhkan pada 2003, Proton R3 (Race, Rally, Research) merupakan bahagian sukan permotoran rasmi PROTON.
Dalam tempoh lebih dua dekad, R3 telah berjaya membawa kejayaan PROTON dalam pelbagai perlumbaan dan rali, di peringkat domestik dan antarabangsa.
Selain itu, R3 menggunakan pengalaman yang diperoleh untuk membangunkan komponen peningkatan prestasi serta model edisi terhad untuk dijual kepada pelanggan.
Terbaru, jenama R3 turut mengembangkan sayapnya dalam bidang pelincir.


Proton S70 R3 adalah model terkini yang dibangunkan khusus untuk sukan permotoran. Sebelum penubuhan R3, PROTON telah terlibat dalam perlumbaan melalui beberapa model terdahulu seperti Proton Saga, Wira, Satria, Waja, Satria Neo, Preve, Suprima S, Iriz, serta Saga versi baharu.
Dengan kehadiran Proton S70 R3, PROTON dan bahagian sukan permotorannya mengorak langkah lebih jauh, dengan kerjasama pembangunan bersama Geely.
Perlumbaan 1000km Sepang, yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November, kini tinggal kurang tujuh minggu lagi. Persiapan akhir giat dijalankan bagi memastikan kereta dan pasukan R3 berada pada prestasi optimum.
PROTON mencatatkan rekod sebagai pengeluar paling berjaya dalam sejarah 15 tahun perlumbaan ini dengan enam kemenangan, manakala pasukan R3 merupakan pasukan paling cemerlang dengan lima kemenangan, termasuk tiga kemenangan berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Proton S70, sedan segmen C pertama PROTON sejak Preve yang dilancarkan pada 2012, telah dilancarkan pada 28 November 2023.
Model ini muncul sebagai pemimpin jualan dalam segmennya, dengan hampir 15,000 unit terjual sehingga akhir September 2024.
Dikuasakan oleh enjin 1.5T dan transmisi klac berkembar 7-kelajuan (DCT), Proton S70 turut dilengkapi teknologi arahan suara dan 13 teknologi ADAS tahap 2, menjadikannya salah satu model paling inovatif.
“Walaupun ia merupakan kereta baru, PROTON menyahut cabarn untuk menempatkan dua unit S70 R3 dalam perlumbaan dan bukannya menggunakan model lama yang terbukti sebagai pilihan alternatif. Kami bertekad untuk membuktikan kemampuan model sedan PROTON terbaru di litar perlumbaan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.