
TERKINI: YAMAHA YZF-R9 DIRASMIKAN – 118HP, 195KG
Selepas pelbagai spekulasi dan khabar angin serta andaian akhirnya Yamaha memperkenalkan YZF-R9 secara rasmi untuk pasaran global.
Nama R9 disebut-sebut sebaik Yamaha melancarkan YZF-R7 pada 2021. Ini kerana ketika YZF-R6 dan YZF-R1 masing-masing merupakan jentera yang dibangunkan khas untuk prestasi di litar lumba, R7 lebih praktikal dengan penggunaan enjin dua silinder CP2 yang diambil dari MT-07.

Komitmen Yamaha dalam membangunkan jentera ‘sportsbike’ yang lebih versatil diteruskan untuk tahun 2025 kali ini menerusi R9.
Namun sebelum itu, Yamaha menjelaskan bahawa R9 bukanlah pengganti kepada model sedia ada termasuk R6 (yang telah pun dihentikan pengeluaran pada 2020 dan diteruskan sebagai jentera litar sahaja) sebaliknya merupakan model serba baharu.
Menurut Yamaha Motor, R9 merupakan motosikal yang dibangunkan untuk kegunaan di jalan raya namun pada masa sama berkemampuan untuk beraksi di litar lumba.
Enjin

Atas kertas, Yamaha R9 dikuasakan platform tiga silinder 890cc CP3 yang diambil dari MT-09 namun dipadankan dengan tetapan ECU berbeza dengan ‘gearing’ lebih tinggi; 16/45 berbanding 16/43 pada MT-09. Kuasa disalurkan masih sama dengan 118hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm.
Naik taraf signifikan yang diperkenalkan pada 2021 pada MT-09 juga dibawa pada R9 termasuk piston, con rod, crankshaft, camshaft yang telah direka semula agar lebih ringan lalu menyumbang kepada tork yang lebih tinggi.
Casis

Aspek paling mencuri tumpuan pada R9 adalah penggunaan kerangka serba baharu. Menurut Yamaha, kerangka Deltabox aluminium yang diguna pakai dibangunkan khas untuk R9 dengan talaan khas untuk mencapai prestasi optimum.
Lebih menarik, kerangka Deltabox ini hanya 9.7kg lantas menjadikannya sebagai kerangka paling ringan dalam keluarga Supersport Yamaha. Atas kertas, R9 hanyalah 195kg.

Pakej suspensi pula merangkumi fork KYB SDF (Separate-Damping Fork) 43mm boleh laras (damping di sebelah kiri dan rebound di sebelah kanan serta preload). Bahagian belakang juga menempatkan monoshock KYB boleh laras.
Kedua-dua ciri ini jelas membuktikan Yamaha beri fokus pada prestasi dalam pembangunan R9 berbanding R7 yang hanya menawarkan kerangka jenis ‘tubular steel double backbone’ dan suspensi tidak boleh laras.
Dimensi

Yamaha R9 ini juga jelas lebih besar berbanding R7 dengan permukaan tangki lebih besar dan ruang pelana lebih lebar.
Perbandingan dengan R7 mungkin dilihat tidak adil namun sedikit sebanyak memberi gambaran hala tuju Yamaha dengan R9. Jika R7 lebih praktikal dan ringan, R9 memiliki DNA sebagai jentera supersport yang lebih tepat.

Dalam pada itu, kedudukan ‘handlebar’ jenis ‘clip-on’ juga lebih rendah berbanding R7 namun lebih tinggi berbanding R1. Ini bermakna berbanding R1 yang lebih agresif dan ‘attacking’, R9 menawarkan keselesaan yang lebih baik.
Winglet

Yamaha menggelar R9 sebagai sportbike paling aerodinamik pernah dihasilkan dan terbukti dengan kewujudan ‘winglet’ di bahagian kiri dan kanan. Namun, Yamaha menegaskan ‘winglet’ tersebut bukan sekadar hiasan sebaliknya menawarkan ‘downforce’ pada kelajuan tinggi di litar lumba.
Yamaha mendakwa winglet tersebut menjejaskan jangka hayat tayar sebanyak 6 hingga 7 peratus ketika di kawasan lurus ekoran penghasilan ‘downforce’ yang optimum.
Elektronik

Antara kelengkapan yang mengagumkan terdapat pada R9 terarah kepada pakej elektronik. Ini kerana Yamaha telah melengkapkan R9 dengan segala teknologi yang ada antaranya:
- 3 mod menunggang; Sport, Street dan Rain + 2 mod Kustom dan 4 mod Track
- 6-axis IMU menawarkan traction control, slide control, brake control
- 4 mod kuasa
- lift control
- launch control
Selain itu, Yamaha turut melengkapkan R9 dengan fungsi EBM (Engine Brake Management) yang hadir dengan dua mod. Opsyen 1 menawarkan ‘engine braking’ paling tinggi sementara Opsyen 2 mengurangkan kesan ‘engine braking’.

Sementara itu, jika tayar belakang terkunci ekoran berlaku ‘engine braking’ yang melampau, sistem BSR (Back Slip Regulator) akan memainkan peranan dengan mengawal aliran tork sebagai sokongan. Sistem ini berfungsi ketika cengkaman tayar berada di tahap rendah.
Segala tetapan elektronik boleh diakses menerusi paparan meter TFT 5-inci menggunakan butang khas tersedia di sebelah kiri ‘handlebar’ mirip MT-09.
Bonus

Sebagai bonus, Yamaha R9 turut hadir dengan fungsi ‘cruise control’ sebagai kemudahan ketika tunggangan jarak jauh serta fungsi ‘quickshifter’ generasi ketiga. Yamaha R9 juga dilengkapi dengan brek Brembo Stylema yang dipadankan bersama cakera brek berkembar 320mm.
GALERI: YAMAHA YZF-R9 2025




























