PROTON SUPRIMA S
Sabtu lalu, tumpuan rakyat Malaysia tertumpu kepada apa yang berlaku di dewan Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Di sana, satu lagi sejarah dilakar oleh pengeluar kereta nasional, Proton apabila ia melancarkan model hatchback terbaharunya, Proton Suprima S.
Proton Suprima S tampil ketika Proton terpaksa berdepan dengan ekspektasi menggunung daripada pengguna tempatan. Apatah lagi selepas entiti itu diambil alih oleh pemilik barunya, DRB Hicom.
Rakyat Malaysia dalam diam sebenarnya mahu melihat sejauh mana DRB Hicom mampu membawa Proton ke satu tahap yang lebih tinggi. Bukan sekadar bergantung kepada jualan domestik untuk meneruskan survivalnya.
Seingat saya, tiada model Proton yang tidak menangkap perhatian orang ramai. Jadi, Suprima S tidak terkecuali. Walaupun tidak ada siaran secara langsung di televisyen, namun pengguna sudah pun tahu sedikit sebanyak mengenai Suprima S menerusi laman-laman web pemotoran yang ada di negara ini.
Menurut Proton, nama Suprima diambil daripada perkataan bahasa Inggeris “Supreme” yang membawa makna agung. Sementara S pula bermaksud Sport.
Biarpun dibina berasaskan kepada model Preve, Proton tidak mahu Suprima S dikaitkan dengan sedan tersebut. Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa hatchback itu mungkin menjadi pemula kepada satu rangkaian model lain yang lebih sporty.
Dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri yang juga Penasihat Kumpulan Proton, Tun Dr. Mahathir Mohammed, jentera ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive dan Premium.
Harganya pula bermula daripada RM76,338 (Executive) hingga RM79,988 untuk model Premium. Ini adalah harga di atas jalan, lengkap bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 kilometer (km) serta program Free Road Assist Proton, juga selama lima tahun.
Suprima S dikuasakan oleh unit enjin sama seperti yang ada pada Preve. Apa lagi kalau bukan enjin Campro bersesaran 1.6 liter. Enjin dengan sistem pengecas soft turbo itu mampu menghasilkan kuasa 138hp @ 5,000 rpm. Sementara kuasa tork 205Nm pula boleh diperoleh ketika rpm mencecah takat 2,000 hingga 4,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Punch VT3 CVT tujuh kelajuan.
Proton menyatakan bahawa transmisi CVT itu telah menerima talaan baru bagi disesuaikan dengan profailnya sebagai sebuah jentera sporty. Agak pelik juga kenapa Proton tidak menawarkan versi manual untuk Suprima S. Jika benar aspek sporty diberi penekanan, penawaran varian manual dilihat wajar.
Dilihat dari segi prestasi, hatchback segmen C ini berupaya mencapai kelajuan 0-100km/j dalam tempoh 9.9 saat dengan kelajuan maksimum 190mk/j. Penggunaan bahan api pula berkisar pada angka 9.1 liter untuk setiap 100km.
Sebenarnya angka itu sedikit tinggi jika dibandingkan dengan Preve yang mencatatkan bacaan 8.2 liter untuk setiap 100km. Sebabnya, Suprima S adalah 35 hingga 55kg lebih berat berbanding Preve berikutan penggunaan cermin lebih besar. Selain mungkin tahap ketegaran kerangka yang telah dipertingkatkan.
Selepas lama menghilang, Proton mengembalikan emblem ‘Handling by Lotus’ kepada Suprima S. Saya yakin, ramai yang percaya dengan kualiti pengendalian jitu model-model keluaran Proton.
Setup chasis hatchback ini terdiri daripada sistem suspensi jenis topang MacPherson untuk roda hadapan. Ia dipadankan dengan suspensi multi-link dan bar penstabil bagi roda belakang. Input pemandu pula diserahkan kepada stereng kuasa hidraulik yang menjanjikan kualiti pengendalian memuaskan.
Disifatkan sebagai model Proton paling premium setakat ini, Suprima S hadir dengan pelbagai ciri inovatif. Sebagai contoh, sistem audio Android dengan kemampuan WiFi untuk melayari internet, ciri Hill Hold Assit dan banyak lagi. Bunyi daripada sistem audio Android yang pertama untuk OEM di Malaysia itu disalurkan menerusi enam unit pembesar suara (Premium).
Pujian harus diberikan kepada pasukan reka bentuk di Proton. Berpegang kepada hala tuju rekaan terbaharu yang dikenali sebagai Proton Wings, Suprima S jelas memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang kemas serta moden.
Bahagian hadapannya diserlahkan menerusi rekaan lampu utama projektor bersama butiran LED yang nipis. Gril radiatornya kini menggunakan gril jenis honeycomb berwarna hitam. Rekaan perumah lampu kabus dikatakan berfungsi untuk mengalirkan udara bagi tujuan penyejukan enjin. Belakangnya pula nampak ringkas dengan sepasang lampu LED. Penampilan itu disempurnakan dengan penggunaan rim aloi bersaiz 17 inci untuk model Premium, manakala Executive (16 inci).
Proton dilihat semakin serius dalam memastikan model keluarannya menawarkan aspek keselamatan terbaik. Justeru, Suprima S yang diberi penarafan lima bintang oleh Australia NCAP dilengkapi sistem keselamatan aktif dan pasif. Ia terdiri daripada sistem brek ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman dan ISOFIX. Selain enam beg udara yang merupakan ciri standard untuk kedua-dua varian dan pertama kali beg udara sebanyak itu dipasang pada model Proton.
Suprima S membuktikan kesungguhan Proton untuk kekal kompetetif dalam pasaran automotif yang amat mencabar. Adakah Suprima S memiliki cukup formula untuk meyakinkan rakyat Malaysia? Sama-sama kita nantikan kesudahannya.
[hr] Galeri