Buletin

PROTON X90 KINI DI PASARAN BRUNEI, MAURITIUS DAN AFRIKA SELATAN

Pengeluar kereta nasional, PROTON terus melangkah ke hadapan apabila pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa meningkat sebanyak 79 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada Ogos lalu, PROTON X90 telah dilancarkan di tiga pasaran eksport iaitu Afrika Selatan, Mauritius serta Brunei.

“Tahun 2023 mencabar perniagaan eksport PROTON kerana kebanyakan pasaran eksport kami mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal.

“Walau bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, dan Iraq,” kata Pengarah Jualan Antarabangsa, PROTON, Steven Xu.

“Kami kekal fokus untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran Proton X90, Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama syarikat, dalam tiga pasaran eksport berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei,” tambahnya lagi.

Steven Xu turut menjelaskan bahawa ia membantu meningkatkan imej jenama PROTON di pasaran tersebut selain dilihat sebagai pelaburan demi masa depan.

Perkembangan berkaitan, populariti model Proton telah melonjak di Brunei dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan pasaran berjaya mencapai paras tertinggi dalam sejarah.

Kumpulan pertama unit Proton X90 berjaya dijual dengan pantas termasuk model lain juga diminati oleh pembeli.

Bagi bulan Ogos, jualan kenderaan Proton mencecah paras tiga angka buat kali pertama apabila 100 unit didaftarkan.

Google ads
Back to top button