Buletin

PROTON S50 BAKAL DILANCARKAN DALAM TEMPOH DUA BULAN LAGI

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong sahkan Proton S50 (SS11) bakal dilancarkan dalam tempoh dua bulan akan datang atau sekitar November ini.

Perkara berkenaan diumumkan pada Majlis Penyerahan Kraf Budaya Malaysia kepada atlet bagi Muzium Sukan Asia Hangzhou.

Model sedan baharu itu adalah berdasarkan Geely Emgrand dan mempunyai dimensi 4,638mm (panjang), 1,820mm (lebar) dan 1,460mm (tinggi). Secara keseluruhan, ia lebih besar berbanding Proton Preve.

Untuk bahagian dalam kabin, ia berkemungkinan menerima rekaan seakan Proton X50, dimuatkan skrin bersaiz 10.25-inci pada papan pemuka yang menyokong GKUI Smart Ecosystem selain dilengkapi meter digital 12.3-inci.

Untuk rekod, Geely Emgrand di pasaran China ditawarkan dengan enjin 1.5 liter NA yang mampu menjana kuasa 114hp dan 147Nm tork serta dipadankan bersama transmisi CVT.

Selain itu, terdapat pilihan janaan kuasa iaitu enjin 3 silinder 1500cc JLH 3G15T Port Fuel Injection, berupaya menghamburkan kuasa 148hp atau enjin 3 silinder 1500cc JLH 3G15TD Suntikan bahan api, menghasilkan 175hp.

Menurut maklumat yang diperoleh dari laman Facebook The Ajerul, kereta ini sedang rancak diproduksi di kilang.

Kita boleh menjangkakan bahawa Proton mahu menyediakan stok sebanyak mungkin sebelum dikeluarkan.

Selain itu, menerusi foto yang disiarkannya, sekurang-kurangnya terdapat lima warna berbeza bakal ditawarkan iaitu Snow White , Armor Silver, Marine Blue, Passion Red dan Teal Bayou Green.

Walau apa pun, untuk perincian lebih terperinci mengenai pesaing Toyota Vios dan Honda City ini, kita perlu menunggu selewat-lewatnya sehingga November. – Automachi

Google ads
Back to top button