
PROTON, SMART AUTOMOBILE TANDATANGANI MOA – KAJI PEMASANGAN EV SMART SECARA TEMPATAN
PROTON baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023.
MoA tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdulah, dan Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan smart Automobile, Mandy Zhang.
Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON, Dr Li Chunrong, Presiden Global smart Automobile, Tong Xiangbei, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang dan Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Encik Unny Shankar.

MoA pertama yang ditandatangani adalah untuk meneroka potensi PROTON menjual penawaran EV smart di ASEAN, manakala dokumen baharu pula adalah untuk kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang PROTON di Tanjung Malim.
“Sebagai pengeluar automotif, PROTON sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan boleh dimanfaatkan, lebih-lebih lagi kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely,” kata Dr Li Chunrong.
Terdahulu, PRO-NET telah menandatangani MoU dengan GENTARI iaitu cabang tenaga boleh diperbaharui PETRONAS, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.
“PROTON komited untuk memperkenalkan lebih banyak Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pada masa hadapan. Selepas pelancaran Proton X90, NEV pertama PROTON, kami teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang EV.
“Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau,” tambah Dr Li Chunrong.
- BACA: PROTON S50 BAKAL DILANCARKAN DALAM TEMPOH DUA BULAN LAGI
- BACA: PROTON CATAT HASIL JUALAN LEBIH 100,000 UNIT UNTUK 2023, 13,955 UNIT TERJUAL BULAN OGOS
- BACA: PUSAT UJIAN PROTON TERIMA AKREDITASI ISO/IEC 17025:2017
- BACA: PROTON S50 BAKAL DITAWARKAN DUA PILIHAN ENJIN – ENJIN 1.5L NA DAN PENGECAS TURBO 1.5L







