
PROTON CATAT HASIL JUALAN LEBIH 100,000 UNIT UNTUK 2023, 13,955 UNIT TERJUAL BULAN OGOS
PROTON terus unggul apabila mencatat hasil jualan melepasi 100,000 unit bagi lima berturut-turut setelah merekodkan jualan 13,955 unit bulan Ogos.
Secara keseluruhan, PROTON berjaya mengutip 104,602 bagi jualan tahun sehingga kini (YTD) untuk 2023, bersamaan peningkatan sebanyak 19.6 peratus, berbanding jumlah dicatatkan lapan bulan pertama tahun lepas.
Dengan jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 74,200 unit, pegangan pasaran PROTON diramalkan pada 18.8 peratus untuk bulan Ogos, dengan angka pegangan pasaran YTD sebanyak 20.8 peratus.
Pertumbuhan volum syarikat menyaksikan ia kekal mendahului TIV, di mana kini dianggarkan sebanyak 12.2 peratus untuk 2023.

Barisan model PROTON yang menerajui jualan YTD untuk segmen masing-masing ialah Proton X90, model terbaru segmen-D dengan jualan 719 unit pada bulan Ogos. Jumlah terkumpul Proton X90 adalah sebanyak 2,944 unit.
Proton X50 terus menerajui pasaran SUV segmen B dengan 2,558 unit dijual bulan lepas, menyumbang kepada angka YTD sebanyak 22,750 unit. Model berkenaan bukan sahaja menerajui segmen-B, malah menguasai keseluruhan pasaran SUV.
Selain itu, Proton Exora turut menetapkan standard untuk jualan MPV segmen-C, dengan 409 unit terjual pada bulan Ogos, menghasilkan jualan YTD sebanyak 3,150 unit.

Sementara itu, Proton Persona pula mencapai jualan lebih 2,000 unit untuk kali keenam bagi tahun 2023 dengan 2,028 unit diserahkan pada bulan lepas.
Untuk rekod, angka YTD Proton Persona adalah sebanyak 16,561 unit, 72 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022.
Proton Saga adalah model Proton paling laris pada bulan Ogos, mencapai angka bulanan tertinggi bagi tahun 2023 dengan 6,585 unit dijual.
Angka tersebut meletakkannya di tempat kedua jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut. Bagi lapan bulan pertama, sebanyak 45,836 unit telah diserahkan, iaitu peningkatan sebanyak 34.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2022.
Proton Iriz juga menyaksikan peningkatan jualan, di mana 654 unit model tersebut dijual pada bulan Ogos meletakkannya di tempat keempat dalam segmennya.
Tidak ketinggalan, Proton X70 mengakhiri bulan Ogos dengan 1,002 unit berjaya dijual, sekali gus melonjakkan jualan YTD kepada 7,999 unit.
- BACA: PUSAT UJIAN PROTON TERIMA AKREDITASI ISO/IEC 17025:2017
- BACA: PROTON S50 BAKAL DITAWARKAN DUA PILIHAN ENJIN – ENJIN 1.5L NA DAN PENGECAS TURBO 1.5L
- BACA: EV IMPORT BAWAH RM100K DIBENARKAN SETELAH PROTON, PERODUA HASILKAN EV
- BACA: PROTON EXORA BAKAL DIHENTIKAN DISEMBER INI – GEELY JIAJI SEBAGAI PENGGANTI?