
JAGUAR LAND ROVER MALAYSIA LANCAR VELAR – BERMULA RM529,800 SEUNIT
Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) hari ini melancarkan model SUV yang amat ditunggu-tunggu, Range Rover Velar ke pasaran tempatan.
Jentera ini ditawarkan dalam dua varian dengan enjin bersesaran 2.0 liter yang dibezakan sebagai model biasa dan R-Dynamic. JLRM dijangka turut menawarkan versi enjin 3.0 liter tidak lama lagi.
Jika berminat, Velar boleh anda miliki pada harga bermula RM529,800 (2.0L) dan RM588,800 bagi varian R-Dynamic. Harga ini termasuk GST, tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Memenangi anugerah Design of the Year Car 2018 pada acara 2018 World Car Awards, Velar menggunakan enjin Ingenium P250 yang dipadankan dengan kotak gear ZF lapan kelajuan automatik.
Kuasa mencecah 250PS dan tork setinggi 365Nm itu kemudian disalurkan menerusi pacuan semua roda (AWD) Driveline Dynamics.
Kuasa ini membolehkan Velar memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 6.7 saat. Tahap penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.6l/100km berdasarkan kepada piawaian kitaran pemanduan Eropah (NEDC).
Apa yang pasti, Land Rover berjanji bahawa pemandu pasti akan teruja dengan prestasi, kehalusan buatan dan keupayaan Velar mengharung apa jua permukaan jalan. Semua ini tidak pernah dilihat pada sebuah SUV saiz sederhana.
Velar tampil dengan gabungan reka bentuk kontemporari dan teknologi termaju. Lampu utama ialah jenis Matrix LED sepenuhnya yang pertama kali digunakan pada kenderaan Land Rover.
Hendal pintu yang kelihatan seperti kereta konsep itu bukan sahaja bergaya, malah kelihatan cukup canggih dan berbeza.
Di ruang kabin, pemandu dan penumpang dihidangkan dengan kualiti binaan yang sangat premium. Sistem Touch Pro Duo hadir bersama dua unit skrin sentuh bersaiz 10 inci yang menawarkan operasi intuitif.
Pemandu juga dihidangkan Paparan Interaktif Pemandu bersaiz 12.3 yang menampilkan empat tema visual serta paparan navigasi 3D bersaiz penuh. Ia sekali gus menyempurnakan lagi rekaan dalaman yang minimalis.
Kemewahan ruang dalaman diserlahkan lagi dengan tekstil premium Kvadrat yang dikontraskan bersama fabrik Suede. Pelanggan boleh memilih kemasan kulit yang sama pada varian R-Dynamic.
Kerangka monokok Velar dibangunkan menggunakan aluminium ringan Land Rover. Aloi aluminium itu mewakili 81 peratus badan yang sememangnya tidak dapat ditandingi oleh pengeluar kenderaan mewah lain.
Ia bukan sahaja ringan, malah cukup kukuh. Kualiti pengendalian terbaik Velar kemudian disumbangkan oleh aplikasi suspensi double wishbone pada roda hadapan dan Integral Link di belakang.
Dari segi keselamatan, Velar dilengkapi enam beg udara serta sistem bantuan pemanduan terkini yang merangkumi Head Up Display, Navigasi Pro System dan kawalan jelajah dengan pengehad kelajuan.
Velar didatangkan dalam lapan warna termasuklah putih, kelabu, hitam, merah dan perak. Terdapat lima pilihan gabungan warna untuk ruang dalaman seperti hitam, kuning cair, coklat, merah dan putih.
Varian P250 dipasang dengan rim 20 inci, manakala 21 inci untuk versi R-Dynamic. Jentera ini dibangunkan dan dipasang di kilang Land Rover di Solihull, UK.
Bagi memberi ketengan minda kepada pelanggan, Velar hadir bersama jaminan dan servis percuma selama lima tahun. Selain bantuan tepi jalan selama tiga tahun.
GALERI