Buletin

LAND ROVER DEFENDER 90 2022 KINI DI MALAYSIA. 2 PILIHAN ENJIN, KEMAS KINI PERISIAN SOTA, BERMULA RM834K

Jaguar Land Rover Malaysia baru-baru ini melancarkan Land Rover Defender 90 2022 ke pasaran tempatan. SUV serba lasak itu menampilkan reka bentuk moden dan mengekalkan keupayaan mengharungi semua permukaan bumi.

Berikutan permintaan tinggi seperti Defender 110 dua pilihan enjin ingenium disediakan iaitu Petrol 4 silinder P300 dan petrol MHEV 6 silinder P400. Defender 90 tiga pintu dengan jarak roda lebih pendek mampu mengharung air sedalam 900mm dan dilengkapi kotak pemindahan dwikelajuan. 

Ciri itu menawarkan lebih kelajuan dan kawalan tambahan untuk mengawal kuasa ketika mengharungi keadaan mencabar seperti mendaki dan menuruni cerun curam, muka bumi yang pelbagai dan pemanduan lasak di laluan off-road. 

Suspensi udara elektronik menjanjikan pengalaman pemanduan yang selesa dengan ketinggian yang boleh dilaras mengikut keperluan. Ini termasuklah ketinggian akses yang boleh dilaraskan serendah 40mm daripada ketinggian pemanduan normal dan dilanjutkan sehingga 75mm. 

Untuk laluan off-road, ketinggian tambahan 70mm turut disediakan bagi kawalan roda yang luar biasa walaupun dalam perjalanan yang mencabar. Fungsi Dinamik Boleh Laras (Adaptive Dynamic) membolehkan pemandu menyesuaikan gaya pemanduan masing-masing. 

Menggunakan peredam adaptif yang menilai pergerakan badan sehingga 500 kali sesaat, Dinamik Boleh Laras menggunakan data untuk mengoptimumkan kawalan dan keselesaan dengan serta-merta.

Senibina Kenderaan Elektronik generasi seterusnya (EVA 2.0) mempelopori revolusi digital dengan menyokong proses kemas kini perisian menerusi udara (Software-Over-The-Air, SOTA) yang memastikan Defender 90 terus ditambah baik. Ia juga membolehkan penggunaan sistem infohiburan Pivi Pro serba baharu Land Rover yang pantas dan intuitif. 

EVA 2.0 terdiri daripada kamera digital hadapan terkini, sensor ultrasonik canggih dan rangkaian dalam kereta berkuasa yang menyokong pilihan lengkap teknologi bantuan pemandu. Ini termasulah Kamera Keliling 3D yang memberikan tahap pandangan 360 darjah, di luar dan di atas jalan raya untuk keselamatan maksimum. 

Sistem kamera itu memberikan visual yang ditambah baik apabila menggunakan teknologi Wade Sensing dan teknologi bonet lut sinar Land Rover ClearSight untuk meningkatkan tahap pandangan.

Defender 90 tampak bergaya lagi berkuasa. Boleh didapati dalam lima warna, SUV berkenaan dilengkapi 170 aksesori individu, pilihan terbesar yang pernah dihasilkan bagi Land Rover bagi memastikan kepelbagaian antara dua kenderaan Defender.

Antara aksesori yang ditawarkan ialah kotak penyimpanan barang di bahagian sisi kenderaan, koleksi baharu peralatan serta pakaian luar Above and Beyond.

Defender 90 ditawarkan pada harga bermula RM838,800 (P300) dan RM1,098,800 (P400 MHEV). SUV itu  disokong oleh program Land Rover Care yang merangkumi jaminan lima tahun, servis percuma lima tahun dan khidmat bantuan tepi jalan tiga tahun. 

Sila layari www.landrover.com.my untuk maklumat lanjut.

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button