Buletin

PEREKA LAGENDA HOT WHEELS MENINGGAL DUNIA AKIBAT KANSER USUS

Kanser telah meragut seorang lagi lagenda dalam komuniti pemotoran. Ryu Asada yang bertanggungjawab mereka bentuk kereta untuk Hot Wheels dan Matchbox meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat kanser usus. 

Pengumuman kematian Asada dibuat menerusi Instagram. Dia bergelut dengan kanser usus tahap 4 sejak lima tahun lalu. Walaupun terpaksa menjalani pelbagai rawatan, Asada masih menyumbang idea dalam pasukan reka bentuk syarikat kereta diecast tersebut. 

Asada lahir dan dibesarkan di Jepun sebelum berpindah ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran. Dia menamatkan pengajian di ArtCenter College of Design pada tahun 2004 dan terus bekerja dengan Mattel sebagai pereka bentuk kereta di Matchbox. 

Di sana, dia telah menghasilkan lebh 150 rekaan kereta diecast. Asada kemudian menyertai pasukan reka bentuk Hot Wheels sebagai pereka jemputan. Rekaan pertamanya ialah Gearomino pada tahun 2009. Dia bekerja sepenuh masa dengan Hot Wheels tidak lama kemudian dan bertanggungjawab menghasilkan 20 hingga 30 model bersaiz 1:64 setahun. 

Rekaan Asada yang paling mendapat perhatian ramai ialah kereta buatan Jepun. Dia memangkin kegilaan orang ramai terhadap model JDM seperti Honda S2000 NSX, Mazda RX-7, selain Lancia Delta Integrale HF. 

Rekaan terakhir Asada termasuklah sebahagian koleksi mini J-Imports yang merangkumi beberapa model kereta klasik Jepun. Antaranya ialah Honda N600 tahun 1970 custom dan Honda Civid Type-R 1999.  

Google ads
Back to top button