REKAAN BERANI DIINSPIRASIKAN OLEH PEUGEOT 408, KLFW DESIGNER SEARCH 2024 PERKENAL TIGA BINTANG FESYEN BAHARU
Kemeriahan Kuala Lumpur Fashion Week 2024 (KLFW 2024) diteruskan dengan segmen khas “Design to Sustain” sempena KLFW Designer Search kali keenam.
Bertemakan “Capturing Allure” yang diinspirasikan daripada PEUGEOT 408 serba baharu, 15 pereka fesyen muda mempamerkan rekaan inovatif mereka menggunakan material kitar semula.
Untuk rekod, ini adalah kali pertama program ini berkolaborasi dengan jenama automotif.
Acara ini diserikan lagi dengan kehadiran Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais, yang menekankan pentingnya kelestarian dalam industri automotif dan fesyen.
“Kelestarian bukan lagi satu trend, tetapi satu unsur penting. Matlamat kami adalah untuk masa depan di mana mobiliti dan alam sekitar mampu hidup bersama secara harmoni,” kata Jamie.
Pertandingan “Design to Sustain” yang berlangsung pada 16 Jun menyaksikan 63 artis menghantar tiga lakaran pakaian wanita bertemakan ‘Capturing Allure’.
Daripada jumlah tersebut, 15 pereka terbaik terpilih untuk mengetengahkan dua rekaan di peringkat akhir menggunakan material kitar semula daripada Line Clothing Malaysia (LLCM).
Pemilihan tiga peserta teratas diserahkan kepada sepasukan juri yang terdiri daripada pakar industri fesyen.
Mereka ialah Pengasas KLFW, Andrew Tan; Pengurus Pemasaran Stellantis Malaysia, E-Ling Cheah; Pengarah Kreatif Min Luna Creative Agency, Min Luna; Pengarah Kreatif dan Penggaya Fesyen, Andrea Wong; Pengkritik Fesyen, Kak Zai serta pereka fesyen Kit Woo dan Syomirizwa Gupta.
Tiga pemenang KLFW Designer Search 2024 ialah Mei Xuan Tieo dengan koleksi “Ephemeral Reverie”, Raja Irfan dengan “Eternal Allure” dan Salahuddin Hilmi dengan “Rockstar”.
Mereka akan mempamerkan koleksi penuh masing-masing pada KLFW 2025 dan Lao Fashion Week: Zero Waste Oktober depan.
Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week, Andrew Tan berkata, “Pertandingan Designer Search tahun ini sekali lagi meningkatkan penanda aras fesyen di Malaysia. Menggabungkan gaya dengan kelestarian, para pereka ini menunjukkan pendekatan pemikiran masa depan yang selari dengan visi KLFW.”
Untuk menikmati foto koleksi pemenang KLFW Designer Search 2024, sila kunjungi saluran media sosial rasmi PEUGEOT Malaysia di Instagram atau Facebook.