HONDA CIVIC FACELIFT 2025 DILANCARKAN DI THAILAND – TIGA VARIAN, 178HP, HARGA BERMULA RM132K
Honda baru-baru ini telah memperkenalkan Honda Civic facelift 2025 di Thailand, menawarkan tiga varian; 1.5L Turbo EL+, e:HEV EL+, dan e:HEV RS.
Model generasi ke-11 ini menerima beberapa perubahan termasuk bampar hadapan yang direka semula, gril baharu dan bampar belakang juga telah diubah suai untuk memberikan penampilan lebih segar.
Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran 1,802mm lebar, 1,415mm tinggi, 4,681mm panjang, dan 2,733mm jarak roda.
Kedua-dua versi e:HEV mempunyai kapasiti tangki bahan api lebih kecil iaitu 40 liter berbanding 47 liter untuk model 1.5L Turbo, dan jarak roda mereka adalah lebih panjang sebanyak satu milimeter (2,734mm).
Kesemua varian dipadankan bersama lampu depan LED dengan fungsi automatik, sementara lampu belakang LED, DRL LED, dan ciri auto-off lampu utama apabila enjin dimatikan adalah standard.
Bahagian dalam Civic facelift ini adalah hampir sama dengan model pra-facelift dengan tema warna hitam untuk semua varian.
Model 1.5L Turbo EL+ dan e:HEV EL+ mendapat gabungan kulit dan kulit sintetik; e:HEV RS pula menggunakan suede serta kulit sintetik dengan jahitan kontras merah.
Sistem Honda Smart Key, penghawa dingin automatik, ventilasi udara belakang, butang tekan adalah standard untuk semua varian; e:HEV RS menambah penghawa dingin dua zon dan Smart Key.
Dua varian hibrid menambah tempat duduk penumpang hadapan boleh laras kuasa empat arah, pengecas peranti tanpa wayar, dan tempat duduk pemandu boleh laras kuasa lapan arah.
Ketiga-tiga varian dilengkapi dengan sistem infotainmen Google, dengan unit utama skrin sentuh 9-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Kawalan suara melalui Siri dan Android Auto, Bluetooth, empat sambungan USB-C, dan Honda Connect adalah ciri standard.
Sistem audio standard datang dengan 8-pembesar suara, manakala varian e:HEV RS mempunyai sistem audio premium 12-pembesar suara Bose.
Beralih pada kuasa, model 1.5L Turbo digerakkan oleh enjin petrol empat silinder turbocharged 1,498cc yang menghasilkan 178hp dan 240Nm, memacu roda hadapan melalui kotak gear CVT.
Varian 2.0L e:HEV dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1,993cc yang menghasilkan 142hp dan 182Nm dan dipadankan bersama motor elektrik, menghamburkan kuasa 185hp dan tork 315Nm.
Harga Honda Civic generasi ke-11 yang diperbaharui di Thailand bermula dari 1.03 juta baht (RM132,095) untuk 1.5 Turbo EL, e:HEV EL+ berharga 1.09 juta baht (RM139,790) manakala e:HEV RS dijual pada harga 1.23 juta baht (RM157,780).
- BACA: REKAAN BERANI DIINSPIRASIKAN OLEH PEUGEOT 408, KLFW DESIGNER SEARCH 2024 PERKENAL TIGA BINTANG FESYEN BAHARU
- BACA: ZEEKR X DILANCARKAN DI SINGAPURA – DUA VARIAN, JARAK GERAK 440KM, HARGA RM675K
- BACA: BUICK ELECTRA-LT CONCEPT – WAGON ELEKTRIK YANG ORAIT JUGA KAN?
- BACA: ISUZU MALAYSIA PERKENALKAN ISUZU INSURANCE PRO