
SAIZ RIM: APAKAH KESAN DAN PERBEZAANNYA?
Jika anda sukakan kereta dengan penampilan standard kilang mungkin anda tidak kisah dengan saiz rim yang dilengkapkan pada kereta anda. Bagi pemilik yang suka mengubahsuai kereta pula, rim merupakan antara perkara pertama yang akan dinaiktaraf.
Setakat ni hampir semua yang kami jumpa akan menukar rim asal kepada rim bersaiz lebih besar. Belum ada lagi yang melakukan memecah tradisi dengan menukar rim kepada lebih kecil.
Apakah kebaikan menukar rim kepada saiz lebih besar? Bagaimana pula dengan keburukannya? Teruskan membaca.
STAIL BEB!
Rim yang besar memang akan menyerlahkan penampilan sesebuah kereta apatah lagi bila dipamerkan di ruang pameran, itu juga sebab mengapa pihak pengeluar selalu melengkapkan rim paling besar untuk kereta-kereta konsep.
Kerana ia memang kelihatan sangat “sejuk” (cool?). Namun adakah ia sesuai untuk kegunaan setiap hari di jalan raya biasa?
Bila anda menukar rim anda ke saiz yang lebih besar, ia membawa kesan positif dan pada masa yang sama turut mempunyai kesan negatif. Contohnya jika anda menaiktaraf rim daripada 17 inci kepada 18 inci, anda juga perlu menggunakan tayar yang sesuai dengan rim baru tersebut.
BACA: ROTOBOX, RIM GENTIAN KARBON
Tayar profil rendah dengan ukuran sidewall yang lebih rendah mesti digunakan untuk memastikan kelegaan tayar dengan arca roda tidak terjejas. Jika tidak, akan mengalami masalah jika terlanggar bonggol ataupun lubang-lubang di jalanraya.
Jika saiz rim dinaikkan satu inci, tinggi tayar juga mesti dikurangkan seinci untuk memastikan pelarasan tahap suspensi asal tidak terjejas. Malah ia juga akan meninggikan titik graviti kereta.
Contohnya, jika tayar asal mempunyai saiz 215/65 R17 dan anda mahu menukar kepada rim 18 inci, tayar yang sesuai untuk rim baru anda kemungkinan bersaiz 225/55 R18. Saiz tapak biasanya akan bertambah besar berdasarkan saiz rim dan sidewall pun pula mesti direndahkan dari 65 kepada 55 agar diameter keseluruhan tayar dan rim tidak terjejas.
Jika menukar saiz rim kepada yang lebih besar tanpa mengambil kira faktor ketinggian sidewall seperti di atas, kemungkinan besar ia berisiko merosakkan sistem suspensi, rim dan juga tayar sekali.
Malah tidak mustahil kereta juga akan memberikan bacaan speedometer yang salah kerana diameter keseluruhan tayar kereta sudah berbeza berbanding sebelumnya.
Kesan tidak baiknya pula bila menggunakan tayar profil rendah ialah – ia lebih keras kerana mempunyai kesan kusyen udara dan getah yang lebih nipis. Malah jika anda tersalah terjun ke dalam lubang ia juga mampu merosakkan tayar dan juga rim itu sendiri.
Tayar profil tinggi pula memberikan daya kusyen yang lebih baik kerana ia lebih “tebal”. Prestasi dan kawalan juga akan terjejas kerana ia lebih lembut dan mudah teroleng bila mengambil selekoh.
Pada masa yang sama, penggunaan rim dan tayar profil rendah akan meningkatkan daya kawalan kereta anda kerana mempunyai jarak tapak yang lebih lebar untuk cengkaman. Sesetengah tayar profil rendah juga lebih bising berbanding tayar standard yang senyap. Masalah ini bagaimanapun boleh diatasi dengan tayar yang dihasilkan dengan material yang lebih lembut (tetapi ia biasanya lebih mahal dan cepat haus).
Sekali lagi walaupun rim bersaiz besar memberikan prestasi pemanduan yang lebih baik, ia juga mungkin menambahkan berat keseluruhan kereta anda. Rim yang lebih besar semestinya mempunyai berat yang lebih berbanding rim asal.
Begitu juga dengan saiz tayar. Rim logam adalah lebih berat daripada rim aluminium sebab ia bukanlah pilihan yang baik untuk peningkatan prestasi. Memang terdapat rim bersaiz besar yang lebih ringan dan semestinya harganya tidak lagi murah.
BACA: NOSTALGIA LAMPU POP-UP
Rim dan tayar bersaiz besar memang menelan kos yang tinggi. Semakin besar saiznya, semakin tinggi kos yang perlu dibayar. Jika mahu menukar rim kepada saiz lebih besar sewaktu membeli kereta baru dengan pakej kemasan tertentu kosnya mungkin tidak begitu terasa tetapi di kemudian hari bila tayar sudah mula haus, memang lain lah ceritanya.
Sebaiknya tanya diri anda sendiri sama ada penukaran rim dan tayar itu untuk prestasi, untuk bergaya ataupun untuk keselesaan. Kemudian buat pilihan yang tepat dengan menimbang pro dan kontranya terlebih dahulu.