Artikel Pilihan

REKAAN VW ARTEON, BUKTI VOLKSWAGEN MAMPU HASILKAN REKAAN MENARIK

Cuba anda ingat, bilakah kali terakhir anda terpesona dengan rekaan yang dihasilkan oleh Volkswagen terutama bagi kenderaan keluaran mereka yang moden? Tak ada sangat kan, kerana kebanyakan rekaan Volkswagen kurang melontarkan inspirasi untuk kita menoleh beberapa kali pada kenderaan mereka.

Untuk rekaan Volkswagen moden, mereka banyak bermain dengan rekaan 3 kotak bagi sedan dan 2 kotak bagi hatchback dan juga SUV. Motif rekaan pula banyak bermain dengan garisan tajam, geometri dan berkotak-kotak. Rekaan berkotak-kotak ini mungkin mengingatkan anda pada Bezza dimana fungsi adalah tujuan utama ia dihasilkan, bukan untuk cantik

Pada pandangan penulis kali terakhir Volkswagen menghasilkan sebuah kereta yang sedap untuk dilihat berkali-kali ialah Volkswagen Beetle A5 yang dihasilkan antara tahun 2011 sehingga 2019 dengan rekaan ini diilhamkan oleh Walter de Silva. Kereta ini adalah “fashion statement”. Noktah

Volkswagen New Beetle yang dihasilkan dari tahun 1998 sehingga tahun 2011 juga boleh dikatakan antara yang lawa dengan semua rekaan yang bulat dan comel. Model ini mendapat sentuhan jururekabentuk yang terkenal iaitu Peter Schereyer dan sekarang bertugas di kumpulan Kia-Hyundai.

Bagi Volkswagen generasi pertama, ia dihasilkan oleh Ferdinand Porsche yang mendapat arahan terus dari si misai kontot dalam usaha menghasilkan kereta rakyat untuk dipandu di Autobahn. Kata kunci di sini ialah kereta rakyat, maka agak sukar untuk menghasilkan rekaan yang cantik tanpa menggunakan kos yang tinggi.

Kami tak kata rekaan Passat, Golf, atau Tiguan tidak bagus tapi ia tiada aura untuk membuatkan orang lain berpaling dua kali. Melainkan anda memandu Golf R dengan ekzos meletup-letup bagi menarik perhatian dan juga mungkin kurang kasih sayang.

Sehinggalah Volkswagen melancarkan Arteon R Line 4Motion dengan 276 kuasa kuda dan 350Nm tork. Design proportion kereta ini sangat seimbang dari bahagian depan sehinggalah ke belakang. Jika Passat datang dengan rekaan menegak, bersudut dan berpetak-petak maka Arteon datang dengan rekaan yang segar

Ia merupakan idea Tobias Suhlmann (kini bertugas di Bentley) menerangkan “garisan luar Arteon memang dihasilkan dengan konsep athletic line, form & function. Dengan menggunakan jarak antara roda 2837mm, rekaan bumbung fastback yang ditarik lembut ke belakang sehingga bonet, rekaan luar ala coupe dan ruang kargo yang luas, Arteon menampilkan konsep Gran Turismo

Walaupun ruang bumbung nampak rendah, tapi penumpang belakang tetap selesa dan luas malah ia mampu menyediakan ruang kargo sebesar 563 liter. Ingat, Arteon masih menggunakan suspensi Multilink dengan sistem 4 Motion yang kompleks di bahagian cesi.

Bagi menegaskan lagi rekaan Gran Turismo ini, Volkswagen sengaja memilih nama Arteon dari perkataan Latin yang membawa maksud seni (artem). Dari jauh anda akan melihat Arteon kelihatan lebar, sasa, duduk rendah di atas permukaan jalan dan pada masa sama nampak mewah jika dibandingkan dengan model Volkswagen yang lain

Antara ciri-ciri rekaan yang menarik pada Arteon termasuklah:

1. Rekaan lampu LED depan yang ditanam bersama-sama jeriji melintang depan dengan hiasan krom. Rekaan krom melintang menyerlahkan lagi Arteon supaya nampak lebih lebar serta diberikan lampu kecil yang sangat menarik pada waktu malam

2. Rekaan fastback yang menawan dimana bahagian bumbung kereta bersambung terus dengan bonet belakang dalam satu garis

3. Penggunaan pintu tanpa bingkai yang menyerlahkan cermin pintu yang kelihatan sangat sporti dan klasik pada masa yang sama

4. Lampu brek ketiga LED disusun memanjang di atas cermin belakang

5. Lampu belakang dengan LED yang disusun secara individu, menghasilkan animasi apabila kunci pitu dibuka pada waktu malam. Lampu isyarat membelok pula menggunakan kaedah sequential

Secara keseluruhan Volkswagen mengangkat Arteon sebagai sebuah Gran Turismo yang sangat anggun, sporti, nampak seperti coupe, selesa dipandu untuk perjalanan jarak jauh, luas dan lebih berkuasa jika dibandingkan dengan dengan Golf GTi.

Google ads
Back to top button