Buletin

MENYAMAR POLIS REMBAT YAMAHA RX-Z. SATU DAH KENA TAHAN, SATU JADI BURUAN POLIS

Polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 31 tahun selepas terlibat dalam satu kes kecurian sebuah motosikal Yamaha RX-Z dengan menyamar menjadi anggota unit beruniform itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki Melayu itu ditangkap sepasukan polis Cawangan Operasi/Risikan, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya di Mutiara Damansara pada pukul 11.50 malam.

Beliau memberitahu, hasil soal siasat, suspek telah membawa polis ke Jalan Teknologi, Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara di mana lokasi lori yang digunakan disimpan.

“Polis telah merampas sebuah lori Mitsubishi berwarna putih dan seunit telefon pintar milik suspek,” katanya ketika dihubung UtusanTV.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai kehilangan sebuah motosikal yang diparkir di Apartment Selasih, Damansara Damai diangkut “anggota polis” dengan menaiki sebuah lori.

Video viral itu sempat dirakam oleh pengawal keselamatan ketika kedua-dua suspek dengan selamba mencuri motosikal mangsa.

Mohammad Fakhrudin berkata, mangsa seorang penghantar makanan berusia 30 tahun telah membuat laporan polis pada pukul 6.20 petang Rabu lalu.

“Semasa mangsa keluar rumah pada pukul 8 pagi, motosikal milik pengadu dalam keadaan berkunci termasuk menggunakan kunci tambahan.

“Apabila pulang ke rumah pada pukul 5.20 petang, pengadu mendapati motosikal miliknya tiada,” katanya.

Tambahnya, mangsa kemudian dimaklumkan oleh pengawal keselamatan, dua lelaki mengaku sebagai anggota polis sebelum membawa motosikal pengadu menaiki sebuah lori.

“Polis kini sedang giat memburu seorang lagi suspek bersama motosikal yang dicuri,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan. – UtusanTV

Google ads
Back to top button