Buletin

RENAULT KANGOO GUNA KLAC BERKEMBAR – OK TIDAK NI?

Cuba sebut tentang klac berkembar kepada mereka yang selalu membaca tentang reputasi atau pengguna itu sendiri. Apakah reaksi mereka? Tenang, gembira atau senyum pun tidak, sedih pun tidak.

Hakikatnya semakin banyak pengeluar menggunakan teknologi klac berkembar sehingga Honda Malaysia pun turut menawarkan transmisi i-DCD pada Jazz Hybrid dan City Hybrid.

Walaupun mempunyai versi berbeza dan pembaharuan dari satu generasi namun pengguna harus diyakinkan teknologi ini sekurang-kurangnya mempunyai ketahanan sama seperti transmisi automatik konvensional atau CVT.

Di Eropah lain pula ceritanya. Transmisi klac berkembar bukan sahaja digunakan pada kereta berprestasi dan penumpang malah kini sudah digunakan pada kenderaan komersil seperti Renault Kangoo terbaru ini.

Klac yang dipanggil Efficient Dual Clutch (EDC) itu pertama kali diperkenalkan untuk dua varian Kangoo iaitu dCi 90 dan dCi 110 yang merupakan van terlaris Eropah.

Transmisi EDC tersebut sudah digunakan pada pelbagai kereta keluaran Renault dan pilihan kali ini bakal menjadikan pemanduan Kangoo ibarat sebuah kereta.

Transmisi EDC Renault adalah daripada jenis automatik klac berkembar kering yang beroperasi tanpa perlu pedal klac. Seleksi gear yang ideal dipilih secara automatik oleh unit kawalan elektronik (ECU).

Tukaran gear pula beroperasi dengan aturan ‘P-R-N-D’ beserta mod naik/turun. Tukaran ke atas bermakna gear diturunkan manakala tukaran ke bawah pula untuk menaikkan gear.

Satu kelebihan mod automatik EDC ialah perjalanan menjadi lancar susulan operasi tukaran gear sangat pantas iaitu dalam masa 290 milisaat sahaja. Transmisi ini turut mempunyai kawalan ‘creep’ atau lajakan perlahan sewaktu dalam trafik sesak di mana kereta akan bergerak secara beransur apabila pedal brek dilepaskan.

Transmisi EDC ini juga mempunyai fungsi Bantuan Mula Daki sebagai ciri standard yang penting apabila berhenti di jalan curam dan ia lebih berkesan apabila dipadankan bersama sistem kawalan lajakan.

Transmisi EDC walau bagaimanapun mempunyai lebihan berat sebanyak 28 kg berbanding transmisi manual. 

Varian enjin diesel Kangoo EDC turut mempunyai mod ECO Renault yang boleh menjimatkan minyak sehingga 10 peratus. Mod itu apabila dipilih pemandu akan menukar pengurusan ECU transmisi di mana gear akan ditukar pada RPM lebih rendah.

Harga Renault Kangoo EDC di UK bermula dari GBP 17,395 atau RM 99,100.67.

BACA: VAN RENAULT KHAS YANG NAMPAK JAHAT – RENAULT FORMULA EDITION

BACA: PAKATAN RENAULT NISSAN & MITSUBISHI MAHU JUAL 14 JUTA KENDERAAN!

Google ads
Back to top button