Motosikal

ZARCO PANAS BARAN, TAK BOLEH KAWAL EMOSI – BOSS KTM

Pengarah Sukan Bermotor KTM, Pit Beirer akhirnya membuka mulut di sebalik kegagalan pelumba bintangnya, Johann Zarco untuk menyinar dalam pasukan factory KTM. 

“Dia panas baran dan tidak boleh kawal emosi, ” kata Beirer ringkas. Kenyataan itu timbul selepas beberapa hari pengumuman khidmat Zarco tidak lagi diperlukan walaupun kontraknya hanya akan berakhir pada hujung musim ini. 

Beirer mengakui bahawa pihaknya lega semua perkara dapat diselesaikan dengan baik.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, tempat Zarco dalam perlumbaan di Litar Aragon pada hujung minggu ini akan diambil alih oleh pelumba ujian KTM, Mika Kallio.  

Pengarah dari Jerman itu juga menegaskan sikap panas baran Zarco menjadi masalah, seterusnya menghadkan keupayaannya dalam membantu memberi hala tuju pembangunan jentera dan pasukan.

“Memang susah untuk mendapatkan hala tuju yang jelas jika anda sentiasa marah. Saya tidak merujuk kepada apa yang dia katakan terhadap jentera RC16 di litar Jerez. Itu tiada masalah. Cuma dia meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan apabila perkara berlaku tidak seperti yang dirancang.  

“Dia selalu harapkan tunggangan yang mudah, kemudian bertindak agresif. Memang tak dapatlah. Untuk berjaya di tahap ini, sudah tentu anda perlu ada emosi. Tetapi, anda juga perlu bertenang dan menganalisa keadaan. Walaupun dia mencatat keputusan yang bagus di Litar Misano minggu lalu, dia tidak melihat sisi positifnya. 

“Zarco tetap merungut tentang perkara yang sama. Dia mudah marah, kalau begitu bagaimana pasukan boleh maju ke hadapan?” soal Beirer. 

Ditanya sama ada langkah menggantikan Zarco dengan Kallio dibuat untuk mengekalkan moral pelumba Perancis itu, Beirer menyatakan dengan jelas: “Sudah tentu. Saya bertanggungjawab ke atas projek ini. Jika anda lihat perkara mula menjadi positif, tetapi selalunya 50 peratus daripanya tidak gembira kerana pasukan sudah bekerja keras, malangnya keputusan tetap tidak memberangsangkan. 

“Ketika inilah anda perlu membuat keputusan sama ada anda mahu terus memandang ke hadapan atau ke belakang. Krew perlu kekal positif dan terus bekerja keras.

“Kami tidak membawa masuk Mika untuk membawa keputusan yang lebih baik. Tetapi lebih kepada untuk mencipta suasana kerja yang lebih positif. Kemudian menggunakan keputusan hari ini untuk menjadi lebih baik esok,” jelasnya lagi. 

Biarpun begitu, Beirer berharap Zarco akan mendapat tempat dalam mana-mana pasukan untuk kembali menyinar dalam saingan MotoGP. 

Google ads
Back to top button