
YAMAHA PERKENAL SKUTER ELEKTRIK EC-05 – GUNA TEKNOLOGI TUKAR BATERI GOGORO
Yamaha baru sahaja memperkenalkan skuter elektriknya yang dikenali sebagai Yamaha EC-05, hasil kerjasama dengan syarikat skuter elektrik dari Taiwan, Gogoro,
Yamaha dan Gogoro membentuk kerjasama tahun lalu dengan matlamat mengaplikasikan rangkaian kuasa Gogoro ke dalam skuter elektrik Yamaha.

Skuter itu tampil dengan reka bentuk Yamaha, manakala bahagian dalamannya diuruskan oleh Gogoro.
Jadi, ia dijangka mempunyai spesifikasi yang sama dengan skuter elektrik Gogoro 2 Series. Spesifikasi akhir Yamaha EC-05 masih belum didedahkan.
Biarpun begitu, ia dikatakan mampu memecut pada kelajuan sekitar 85-95km/j dan boleh bergerak sejauh 100km dengan dua pek bateri Gogoro.

Gogoro memang terkenal dengan skuter yang baterinya boleh ditukar dan stesen pengecasnya. Skuter itu mampu membawa dua pek bateri berkapasiti tinggi.
Beteri tersebut boleh dicaj di rumah atau ditukar di lebih 1,000 stesen penukaran bateri di seluruh Taiwan.
Gogoro baru-baru ini menambah baik kepadatan kuasa baterinya apabila bertukar kepada sel bateri 2170 li-ion dengan format lebih besar.

Yamaha EC-05 dijangka mula dijual pada Ogos depan. Buat masa sekarang, ia hanya ditawarkan di Taiwan dan mungkin dipasarkan ke negara lain lain.
Ini kerana skuter Gogoro sudahpun berada di Eropah untuk menjalankan program perkongsian skuter di sana.
Ini merupakan kenderaan elektrik terbaharu daripada Yamaha yang sebelum ini telah menjalin kolaborasi dengan Honda, Kawasaki dan Suzuki untuk membentuk satu standard motosikal yang boleh ditukar baterinya.