
RX-7 GROUP B PALING LENGKAP DAN ORIGINAL DALAM SEJARAH DUNIA
Terdapat beberapa jentera dari Jepun yang menempa nama dalam perlumbaan rali baik kategori kereta mahupun trak. Antaranya termasuklah Mitsubishi Lancer Evo, Subaru Impreza WRX, Toyota Celica GT-Four. Kategori trak pula banyak dipelopori oleh Mitsubishi dengan Pajero untuk perlumbaan rali tahan lasak.
Bagaimanapun kategori rali paling ikonik yang dinamakan Group B bagaikan ketandusan wakil dari Jepun kecuali sebuah yang baharu sahaja kami temui. Ia merupakan sebuah jentera rali Mazda RX-7 yang dihasilkan khusus untuk perlumbaan rali terganas dalam sejarah dikenali dengan nama Group B. Ia merupakan sebuah model lengkap dengan spesifikasi Group B dari tahun 1985. Ini mungkin masanya yang tepat untuk kita mengiklankan organ dalaman kita.
Okey bagi yang tak tahu apa itu Group B, ia merupakan kemuncak kehebatan WRC suatu ketika dulu pada era 80-an sebelum ditamatkan pada tahun 1986 atas faktor keselamatan dan kemalangan maut yang melibatkan Henri Toivonen dari Finland sewaktu perlumbaan Tour de Corse. Ia merupakan kategori di mana tidak ada kuasa dihadkan kepada jentera perlumbaan berbeza dengan Group A di mana ia mempunyai had kuasa dan modifikasi. Disebabkan itu jentera Group B adalah lebih berkuasa dan menawarkan aksi yang menyaingi kehebatan F1 ketika itu.
BACA: MEMORI 90-AN – 10 KERETA SPORTS JEPUN PALING LEJEN
Jika anda tidakpernah mendengar nama RX-7 Group B jangan bimbang kerana model homologasinya memang tidak wujud. Bila FIA dalam proses menukar nama kumpulan perlumbaan daripada nombor kepada abjad, RX-7 ini sudahpun mula berlumba dalam kategori Group 2, kejuaraaan rali dunia (WRC). Pada masa itu (1983) kereta daripada kumpulan lama dibenarkan berlumba dalam kumpulan baru yang menggunakan huruf (Group 2 kepada Group B).
BACA: CONTOH TERBAIK SEBUAH MAZDA RX-7 YANG BERSIH (TAPI DENGAN 500 KUASA KUDA)
Untuk memastikan cabaran mereka lebih kompetitif, Mazda Rally Team Europe (MRTE) telah ditubuhkan apda tahun 1983 dan berpangkalan di Belgium. Merekalah yang bertanggungjawab membangunkan RX-7 Group 2 yang kemudiannya menjalani proses homologasi kepada kategori Group B “Evolution” pada tahun berikutnya.
Group B memerlukan 200 unit homologasi dikeluarkan sebagai syarat untuk berlumba tetapi hanya 20 model perlumbaan sahaja diperlukan untuk memenuhi syarat Group B Evolution. Bagaimanapun dipercayai hanya tujuh buah kereta sahaja disiapkan sepanjang 1984-85, manakala 13 unit lagi disimpan untuk alat ganti. Dengan kata lain RX-7 Group B ni memang khusus untuk perlumbaan dan ultra-rare.
Jentera lumba unik ini dikuasakan dengan enjin rotary 13B rotor-berkembar NA yang mampu menghasilkan 300 bhp kuasa. Ia kelihatan cukup syarat dengan kelengkapan dan modifikasi luaran yang sungguh aerodinamik. Ia salah satu ciri unik kereta-kereta Group B sebenarnya. Usaha yang bersungguh-sungguh MRTE membolehkan kereta rali yang cool ini menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam Rali Acropolis tahun 1985.
Bagaimanapun kemunculan kereta-kereta baru Group B lengkap dengan enjin berkuasa turbo dan 4WD membuatkan keadaan agak mustahil buat RX-7 ini terus mencabar. Dengan sokongan berterusan daripada Hiroshima, MRTE bagaimanapun mula membangunkan jentera rali baru yang diasaskan daripada Mazda Familia/323 4WD untuk bersaing dalam Group A. Dalam jangka masa yang panjang ia memang strategi yang berbaloi dengan Familia Turbo 4WD. RX-7 ini pula terpaksa bersaing dalam kejohanan lain sesuai dengan keupayaannya.
Bulan depan, satu daripada tujuh unit lengkap RX-7 Group B ini akan dijual pada lelongan RM Sotheby’s di London. Apa yang menariknya ini mungkin satu-satunya unit paling original dan belum pernah dilumbakan dalam mana-mana perlumbaan pun. Dihasilkan dalam tahun 1985, model yang diberi kod MRTE 019 ini belum pernah turun ke tanah apatah lagi untuk berlumba. Selama ini ia cuma disimpan untuk pameran di ibupejabat MRTE Belgium.
Ia sudah mengembara ke Switzerland dan Scandinavia sebelum diletakkan untuk pamean di ibupejabat Mazda UK. Bagaimanapun in telah menjalani proses restorasi secara ringan untuk mengekalkan originalitinya. RX-7 ini memang satu nukilan sejarah perlumbaan rali yang penting dan diharapkan ia jatuh ke tangan pencinta automotif sebenar seperti kami di sini.
GALERI: