Buletin

WRC 2021 – ELFYN EVANS KEMBALI MENANG DI RALLY FINLAND

Pemandu kelahiran British, Elfyn Evans akhirnuya kembali menemui rentak untuk muncul juara di Secto Automotive Rally Finland sekali gus menghidupkan semula sisa peluang untuk muncul juara WRC bagi musim 2021 ini. Pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing ini berjaya mengenepikan saingan terdekat, Ott Tanak dan juga Craig Breen untuk muncul juara.

Kemenangan Elfyn Evans ini sebenarnya agak signifikan juga memandangkan pasukan Toyota Gazoo Racing sendiri berpangkalan di Jyväskylä Finland yang berhampiran dengan lokasi perlumbaan. Ibarat kemenangan buat tuan rumah juga sebenarnya. Elfyn Evans mempamerkan pemanduan yang cemerlang untuk mula mendahului saingan pada hari Sabtu sementelah Ott Tanak melakukannya terlebih dahulu pada hari pertama saingan.

Ternyata Elfyn Evans lebih pantas pada saingan berikutnya untuk mula menjarakkan diri di hadapan Ott Tanak dan juga Craig Breen yang mengekori rapat. Paling penting, Elfyn Evans turut mengutip mata maksimum di Wolf Power Stage, sekali gus merapatkan jurang pungutan mata pendahulu, Sebastian Ogier kepada 24 mata sahaja berbanding ketinggalan 44 mata sebelum ini.

Ott Tanak pula akur untuk berada di tempat kedua setelah ketinggalan hanya 14.1 saat sahaja untuk meninggalkan Craig Breen di tempat ketiga dengan ketinggalan 28.1 saat. Paling penting, podium kedua dan ketiga ini berupaya juga mengutip mata penting bagi kategori Pengeluar walau pun kedudukan mata Toyota Gazoo Racing kelihatan agak sukar untuk dikejar.

Sementara itu, harapan untuk menyaksikan hero tempatan, Kalle Rovanpera untuk menyinar di bumi sendiri kelihatan samar apabila beliau mengalami kemalangan teruk pada SS10 dan tidak dapat untuk meneruskan saingan. Mujur juga seorang lagi pemandu tempatan Esapekka Lappi, juara Rally Finland 2017 yang membuat kemunculan semula dalam kategori WRC melalui tiket Wild Card setelah 10 bulan tidak beraksi bersama jentera WRC. Esapekka Lappi memandu jentera Yaris WRC dengan livery berwarna Hijau dan berjaya menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan.

Dengan berbaki dua lagi saingan WRC, saingan semakin sengit diantara Sebastian Ogier dan juga Elfyn Evans. Malang buat Sebastian Ogier kerana beliau didapati melanggari peraturan perlumbaan, tidak mengenakan pengikat tali keselamatan dengan sempurna pada helmet sebelum perlumbaan. Disebabkan itu, beliau dikenakan denda 800 Euros dan penalti 60 saat. Mujur juga masih sempat berada di tempat kelimat keseluruhan.

Saingan berikutnya bakal beraksi di Sepanyol pada pertengahan Oktober nanti.

Kedudukan Pungutan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 190 Mata
  2. Elfyn Evans – 166 Mata
  3. Thierry Neuville – 130 Mata

Kedudukan Pungutan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 441 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 380 Mata
  3. M-Sport Ford – 172 Mata

BACA : WRC 2021 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI RALLY DE PORTUGAL

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MEMBUAT KEJUTAN DI RALLY ITALIA SARDEGNA

Google ads

B K

Back to top button