Motosikal

HOBI KAMI MAHAI…

Empat orang penunggang motosikal yang berkonvoi dari Cheras, Kuala Lumpur ke Jelebu, Negeri Sembilan ketika larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan penjara tujuh hari. 

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Rahimah Rahim di Mahkamah Majistret Jelebu hari ini ke atas Ng Kim Seang, 34; Woo Soon You, 30; Low Yen Lai, 26 dan Teoh Chun Ann, 31, selepas semuanya mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama pada 29 Mac jam 9.30 bertempat di Jalan Besar Titi didapati bergerak dari satu tempat lain iaitu dari Cheras, Kuala Lumpur ke Titi, Jelebu ketika perintah PKP dilaksanakan.

Justeru, semua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 7 PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika gagal membayar denda, Rahimah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan. Manakala hukuman penjara dijalankan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, sementara semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini ada melaporkan empat penunggang motosikal ditangkap polis selepas berkonvoi dari Cheras ke Jelebu biarpun mengetahui PKP sedang dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu. – Harian Metro

Google ads
Back to top button