
HONDA BANGUNKAN JENTERA MOTOGP 2020 IKUT SELERA MARQUEZ. PELUMBA LAIN HANYA JADI PASU BUNGA SAHAJA
Pelumba pasukan Repsol Honda, Marq Marquez dilapor berpuas hati dengan hasil ujian jentera 2020 di Litar Misano baru-baru ini.
Sedia maklum bahawa pelumba Sepanyol itu cukup selesa untuk merangkul kejuaraan dunia kali kelapan. Dengan 250 mata yang dikumpulnya sehingga kini, pelumbaan di Litar San Marino dilihat hanya sebagai satu formaliti.

Dalam sesi ujian itu, Marquez dilapor tidak lagi menggunakan tayar ekstra lembut. Sebaliknya tayar itu digunakan hanya untuk menilai tahap cengkaman di litar. Dia juga dikatakan menerima semua yang dimahukannya di pit.
Ini termasuklah empat unit jentera berbeza demi menentukan apakah strategi pasukan pada musim depan. Matlamat utama adalah untuk menjadikan jentera itu lebih pantas dan mudah dikendalikan.
Ini bermakna, suara beberapa lagi pelumba Honda seperti Jorge Lorenzo dan Cal Crutchlow seakan-akan langsung tidak diendahkan oleh pengeluar tersebut.
“Marquez menjadi keutamaan kami untuk pembangunan jentera ini,” jelas Pengarah Teknikal HRC, Takeo Yokohama ketika ditemui di Litar Brno. Perkara ini bukanlah satu perkara yang pelik, memandangkan Marquez sudah memenangi lima kejuaraan dunia dalam masa enam tahun.
Situasi ini seolah-olah hanya Marquez seorang sahaja yang berlumba untuk pasukan Honda dan pelumba lain sekadar pelengkap pasukan. Bagi big boss Honda, ini bukanlah satu masalah.
Logiknya mudah, lihat sahaja kepada keputusan pelumba Honda yang lain, RC213V memang bukan jentera yang terbaik di MotoGP, tetapi terbaik buat Marquez. Itu sudah cukup untuk Honda.
Harus tahu bahawa semua ini tidak datang dengan mudah. Marquez cukup dikenali sebagai pelumba yang sangat rajin. Dia membuat persiapan rapi di dalam dan luar litar. Kini, fokusnya tertumpu pada musim MotoGP 2019.

Lorenzo pula pada asalnya berharap untuk menyumbang pengalaman, pengetahuan dan keupayaan bagi membina sebuah jentera berbeza. Malangnya, dia tidak sehaluan dengan Marquez.
Diburukkan lagi dengan kecederaan yang dialami, Lorenzo terus disisihkan daripada pembangunan jentera baharu. Ketika sesi ujian lalu, Lorenzo hanya sempat menghabiskan setengah hari sesi sebelum terpaksa berhenti berikutan sakit belakang yang dialaminya.
Sedangkan Marquez menghabiskan sesi ujian dengan menguji satu persatu jentera yang disediakan. Dia kemudian berkongsi maklum balas dengan pasukan jurutera Honda.
Ketika pasukan lain seperti Yamaha dan Ducati masih bergelut untuk menghasilkan jentera terbaik bagi musim MotoGP 2020, Honda sudah jauh maju ke hadapan.
Dah boleh agak keputusan perlumbaan tahun depan?