Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG REV-MATCH

Dah lama penulis tidak bercerita tentang teknologi daripada Honda. Selain daripada terkenal dengan enjin teknologi VTEC (i-VTEC, VTEC Turbo), Honda juga merupakan antara pelopor dalam menghasilkan gear manual yang sangat tepat, rasa penukaran gear yang sangat mekanikal dan meyakinkan. Pengalaman penulis memandu Honda CR-Z manual memberikan satu tanda aras bagaimana kualiti gear manual patut dibuat.

Bayangkan tuan tuan, sistem hibrid pun Honda bantai buat manual. Dia punya feel tu rasa nak pegang gear manual selalu dan rajin-rajin tukar gear. Dah rasa satu nikmat. Klac Honda pulak biasanya lembut, macam klac kereta kompak yang lain. Lepas je klac, gear terus menggigit dan memecut laju ke depan.

Sebenarnya ada satu isu klac dengan enjin. Bukan isu kualiti tapi lebih kepada operasi kereta sendiri. Macam kereta CR-Z, Civic Type-R ada 6 gear manual. Gear 1 ada tork yang kuat, namun halaju maksimanya mungkin sekitar 40km/jam. Untuk pergi lebih laju, pemandu perlu menukar kepada gear 2, 3, 4, 5, dan 6.

Dalam setiap gear, putaran maksima enjin sentiasa berbeza. Katakanlah pemandu dalam gear 4 pada halaju 100km/jam pada 3000RPM, sebaik sahaja pemandu menukar gear 3 untuk mengambil selekoh dengan brake enjin, RPM akan berubah kepada 4000RPM menjadikan proses penukaran gear sedikit susah.

Ada dua komponen dalam sistem klac iaitu Clutch Disc (Cakera Klac) dan juga Pressure Plate (yang bersambung dengan flywheel). Clutch disc akan bersambung dengan sistem transmisi, drive shaft dan juga tayar kereta. Maka ia akan berputar mengikut halaju kereta.

Pressure Plate yang bersambung dengan flywheel pula akan bersambung dengan enjin. Maka ia akan sentiasa berputar pada halaju enjin. Kedua-dua komponen akan berputar pada halaju yang berbeza semasa klac memutuskan sambungan bagi proses penukaran gear.

Bagi memastikan proses penukaran gear berlaku dengan pantas dan lancar, pemandu berpengalaman biasa menggunakan teknik heel and toe. Pedal brek ditekan dengan menggunakan hujung kaki atau ibu jari. Pedal minyak ditekan dengan menggunakan tumit ataupun heel.

Objektif kaedah ini ialah bagi memastikan kereta menjadi perlahan ketika proses penukaran gear berlaku (brek ditekan dengan ibu jari) dan halaju enjin dipaksa untuk menjadi tinggi agar proses penukaran gear berlaku dengan pantas apabila kedua komponen berputar pada halaju yang sama.

Kesannya ialah pemandu boleh memecut keluar dari selekoh dengan pantas. Tapi teknik ini memerlukan latihan itensif yang memakan masa yang lama. Bukan sehari berlatih terus boleh jadi pandai. Fujiwara pun hantar tofu bertahun tahun baru pandai drift.

Jika dilakukan dengan tepat, proses heel and toe ini ada kebaikannya. Salah satunya ialah apabila putaran clutch disc dan pressure plate berputar pada halaju hampir sama, kerosakan atau kehausan yang berlaku pada kedua-dua komponen adalah minimum. Kurang duit terbang untuk aktiviti pembaikan

Salah satu lagi kebaikan ialah ia mengurangkan kebanrangkalian berlakunya gangguan dinamik pada kereta. katakanlah jika anda memandu Civic Type R ini dalam litar, anda perlu memasuki selekoh pada halaju yang tinggi. Anda perlu menukar kedudukan gear dari 4 kepada 2.

Jika anda tidak melakukan heel and toe, kemungkinan besar anda akan menggangu kestabilan kereta sewaktu melakukan proses penukaran gear. Enjin berputar perlahan, tayar berputar laju, sebaik sahaja klac disambung akan wujud fenomena brake torque.

Nak pulak anda tengah mengambil selekoh atau berada di tengah selekoh. Brake torque ini akan menyebabkan berat kereta dipindahkan dari belakang ke depan dengan tiba-tiba (weight transfer). Kemungkinan anda akan terbabas jika anda tidak melakukan heel and toe.

Bagi mengatasi masalah ini, satu fungsi baru diperkenalkan pada Civic Type R yang dikenali dengan nama Honda Rev-Match, yang akan berapa kelajuan enjin optimum yang perlu bagi penukaran gear, melajukan putaran enjin secara automatik sepertimana pemandu professional melakukan heel and toe.

Malah sistem ini cukup bijak dengan menaikkan RPM enjin bagi menghalang putaran enjin jatuh ketika pemandu menukar gear dari gear rendah kepada gear tinggi. Membantu pemandu melakukan pecutan pantas ketika keluar dari selekoh pada gear 3, 4, 5, dan 6

Honda Rev-Match Control System akan menggunakan data dan sensor dari pedal klac, posisi neutral tranmisi, dan sensor pada transmisi bagi memantau keadaan pemanduan kereta dan juga operasi pemandu.

Apabila menukar gear, pemandu perlu menekan pedal klac dan melalui posisi neutral. Sensor pada unit transmisi pula akan mengesan samaada pemandu menukar gear gear tinggi ataupun rendah berdasarkan putaran transmisi.

Contohnya jika pemandu menukar dari gear 4 kepada gear 3, klac akan berputar lebih laju daripada enjin. Sistem ini akan mengarahkan enjin supaya berputar lebih laju supaya putarannya sama dengan putaran klac. Baru gear senang masuk.

Jika pemandu menukar dari gear 3 kepada 4, enjin akan berputar laju sedikit berbanding dengan klac. Jadi sistem ini akan mengarahkan enjin supaya memperlahankan sedikit putaran agar putaran klac sama dengan enjin. Penukaran gear dapat dilakukan dengan pantas

Nanti ada pula komen yang mengatakan, ala driver tak pandai heel and toe. Sistem yang power sebab tue Civic Type R laju. Ya sistem ini membantu pemandu fokus pada proses brek, menukar gear dan melakukan pecutan pantas bila keluar dari selekoh. Namun pada masa yang sama, ia juga boleh ditutup jika pemandu merasakan mereka lebih handal dari sistem Rev-Match milik Honda.

Tags
Google ads
Back to top button