Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG TOYOTA GAZOO RACING

Sebelum nama Toyota Gazoo Racing diperkenalkan, biasa kita hanya dengar TRD yang bermaksud Toyota Racing Development. Biasa dalam varian kereta Toyota yang dijual, versi TRD merupakan versi paling sport dan Ah-Beng yang dihasilkan. Dalam imiginasi kita, TRD ini mestilah sayap perlumbaan Toyota kan.

Tapi sebenarnya divisi perlumbaan telah diambil alih oleh Toyota Gazoo Racing. Segala maklumat berkenaa Toyota Gazoo Racing telah kami senaraikan di bawah

1. Pada tahun 1952, pengasas Toyota iaitu Kiichiro Toyoda menyatakan ” perlumbaan kereta bukan sekadar hiburan. Ia merupakan satu proses yang penting dalam pembangunan industri automotif Jepun. Seperti seorang atlit yang perlu menguji keupayaan mereka dalam sukan Olimpik, pembuat kereta perlu menggunakan sukan permotoran sebagai satu platform untuk menguji kereta mereka ke tahap akhir, bagi membantu mereka mencari jalan untuk memajukan diri dalam teknologi automotif”

Pada tahun 1957 Toyota Crown merupakan model pertama yang berlumba di bawah logo pasukan Toyota di Mobilgas Rally Autralia dan mendapat tempat ke 47 dari 102 kereta yang bertanding. Ini membuktikan pengasas Toyota sendiri sedar akan kepentingan sukan permotoran pada industri automotif

2. Sejarah penubuhan Toyota Gazoo Racing bermula dengan Akio Toyoda yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden Toyota Motor Coroporation, sebuah kongmolerat yang besar di Jepun. Namun sebelum dia memegang jawatan sebagai Presiden Toyota Motor Corp. Ketua Pemandu Ujian Toyota iaitu Hiromu Naruse mengatakan Akio perlu menjiwai dunia automotif yang sebenar

3. Berbeza dengan Presiden sebelum ini yang memilki latar belakang jurutera, Akio merupakan lulusan pengurusan perniagaan. Naruse-san mengajar Akio cara memandu dengan betul di litar Nurburgring dengan menggunakan Toyota Supra A80 terpakai pada tahun 2001. Tujuan Naruse -san ialah bakal Presiden ini menjiwai dunia permotoran sebenar bagi menghasilkan produk yang lebih baik

4. Bagi menyalurkan minat yang mendalam dalam sukan permotoran, Naruse dan Akio menubuhkan Gazoo Racing pada tahun 2007. Antara objektif pertama mereka ketika itu ialah untuk bertanding dalam perlumbaan ADAC Nurburgring 24 Jam dengan menggunakan prototaip Lexus LFA yang sedang dibangunkan ketika itu.

5. Gazoo merupakan satu terma yang digunakan oleh Toyota merupakan asal perkataan Gazo iaitu picture atau gambar. Perkataan ini mula diperkenalkan ketika Toyota mengetengahkan idea sistem jualan kereta terpakai Toyota secara talian di laman web. Apabila disebut dalam bahasa Inggeris ia bertukar menjadi Gazoo

Pada tahun 1996, penggunaan media website untuk menjual kereta terpakai dan baru merupakan satu perkara yang baru dan asing. Laman web ini dipenuhi oleh gambar-gambar kereta dan dikenali sebagai gazoo

6. Jadi apabila Gazoo Racing ditubuhkan, ia menggambarkan satu garaj kereta Toyota yang dibina secara individu dan khusus untuk satu tujuan. Bagi Toyota gazoo juga bermaksud garaj. Tapi ketika ini Gazoo Racing memang tidak langsung dikaitkan dengan Toyota kerana Akio dan Naruse tidak mahu perkara ini diketahui umum

7. Jika perkara ini diketahui umum, maka Akio pasti akan dihentam kerana apa yang dilakukannya bersam Naruse adalah sangat luar biasa. Mana mungkin Timbalan Presiden syarikat automotif terbesar dunia berlumba. Malah Lembaga Pengarah juga amat risaukan keselamatan Akio setiap kali dia berlumba. Bagi menyembunyikan identiti, Akio menggunakan nama samaran Moriza setiap kali berlumba

8. Setelah puas bermain di litar jalan berturap, Akio bekerjasama dengan Tommi Makkinen untuk menyediakan Toyota GT86 bagi perlumbaan rali pada tahun 2015. Kali terakhir Toyota beraksi dalam perlumbaan ralli ialah pada tahun 1999 dengan jentera Toyota mendominasi perlumbaan di benua Afrika. Bagi Akio, sukan rali lebih dekat dengan pengguna jalan raya biasa kerana ia menggunakan kereta biasa yang diubahsui untuk perlumbaan rali.

9. Pada pandangan Akio, perlumbaan rali bukan sahaja ideal untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, namun ia platform yang terbaik untuk melatih pasukan Toyota dalam menghasilkan jentera yang lebih bagus. Falsafah Akio ialah “Roads build people, and people build cars”. Hasil dari pembabitan Toyota dalam sukan rali ini ialah GR Yaris AWD yang dipacu dengan enjin 1600cc turbo 3 silinder dan menghasilkan 268 kuasa kuda.

10. Selain dari GR Yaris, Gazoo Racing juga memiliki beberapa model lain seperti GR Supra, GR GT86, serta GR Copen. Apa yang menarik GR Copen ialah ia dihasilkan oleh subsidiari Toyota iaitu Daihatsu namun bagi versi GR ia tidak akan menggunakan logo Toyota atau Daihatsu namun logo GR yang tersendiri

11. Selain daripada model di atas, Toyota Gazoo Racing juga menghasilkan beberapa model istimewa yang disebut GRMN atau Gazoo Racing tuned by Meister of Nurburgring. Ia terdiri daripada Toyota GT86 GRMN, Toyota Mark X GRMN, Vitz GRMN Turbo dan IQ GRMN. Jentera ini ditala dan dihasilkan bagi menghargai usaha mendiang Naruse bagi menghasilkan kereta prestasi tinggi dengan pengendalian terbaik.

Google ads
Back to top button