Artikel Pilihan

HIROMU NARUSE. HERO TOYOTA YANG PERGI TAK KEMBALI…

Sudahkah anda menonton video iklan Toyota Supra generasi terbaru? Dalam video iklan berdurasi kira kira 2 minit ini, ia dimulakan dengan ucapan dari President Toyota Motor Corporation iaitu Mr. Akio Toyoda yang menegaskan tanpa kehadiran Toyota Supra yang lama, dia sendiri tidak boleh menjadi seorang pemandu kereta Lumba yang mahir.

Toyoda-SAN berlatih memandu di Litar Nurburgring dan menjadikan Toyota Supra A80 sebagai kenderaan latihan, dan pada saat ke 12, adakah anda perasan Toyoda-SAN menyebut nama Mr Naruse?

Mr. Hiromu Naruse ialah Ketua Pemandu Ujian Toyota, telah melatih Toyoda-SAN untuk menjadi seorang pemandu dan juga pelumba yang lebih baik, dengan menggunakan Toyota Supra A80

Siapa Sebenarnya Hiromu Naruse?

Hiromu Naruse dilahirkan pada 18 Julai 1944 ketika kehangatan perang dunia kedua, merupakan anak bongsu daripada empat beradik di Honshu.

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Apabila bapanya terkorban di dalam perang, ibunya membawa mereka sekeluarga berpindah ke Ikeda. Ketika waktu kecil, Naruse menghabiskan masanya membaiki kereta milik keluarga mereka yang dikuasakan dengan arang yang sering rosak dan perlu dibaiki dengan kerap. \

Dari sini Naruse belajar secara hands-on, menggunakan spanar dan pemutar skru dan bukan bermain PUBG seperti anak muda Malaysia.

Pada tahun 1963, Naruse memulakan karier bersama dengan Toyota sebagai mekanik dan bertugas di bahagian Penilaian & Kejuruteraan Kenderaan.

Dari sini dia terus bekerja dengan Toyota selama 47 tahun, sehinggalah dia mengetuai kumpulan pemandu Toyota.

Hasil buah tangan Naruse boleh dijejaki seawal tahun 1965 melalui model Toyota Sport 800, Toyota 1600GT dan Toyota 2000GT pada tahun 1967.

Selepas dinaikkan pangkat sebagai Ketua Mekanik, Naruse terlibat dalam pembinaan Toyota 7, dan seterusnya ditugaskan untuk menjaga Divisyen Motorsport pada tahun 1970.

Seterusnya Naruse terlibat dalam pembinaan kereta Toyota AE86 Sprinter Trueno, yang menjadi ikon kepada perlumbaan jalanan dan bintang dalam siri Anime Initial D, filem, komik dan juga dicetak pada seluar boxer Abang Japar.

Dedikasi dan legasi Naruse diteruskan dengan model moden Toyota Corona, Celica, MR2, Model ikonik Supra yang menjadi bintang dalam Fast and Furious, Lexus IS, MR2 Spyder dan juga Toyota Prius yang dipandu oleh pengurus kanan syarikat multinasional.

47 tahun adalah satu tempoh yang cukup panjang bagi Naruse, dan orang Jepun akan terkejut dengan budaya rakyat Malaysia yang suka bertukar kerja setiap 47 hari.

Bermula dari 1963 lagi, Naruse menjadikan tabiat untuk menyelesaikan masalah dengan konsep Genchi Genbutsu, iaitu salah satu prinsip utama tiang bisnes Toyota sebagai falsafah hidupnya.

Genchi Genbutsu menekankan konsep untuk memahami satu situasi atau masalah, jurutera hendaklah pergi, fahami keadaan dan mencari punca di bahagian bermasalah, bukannya budaya “mentaichi” masalah tersebut kepada orang lain.

ni mendorong Naruse membentuk satu hubungan yang unik antara saraf tunjang, medula oblugata dan deria rasa dengan feel dan perangai kereta atau “vehicle dynamic” dengan sesuatu kereta yang sedang dibangunkan.

Yoshinobu Katsumata menegaskan bahawa ” Naruse adalah Doktor Pemanduan.

Cara beliau memandu sangatlah berlainan, dan boleh berkomunikasi dengan keempat empat tayar sewaktu memandu uji”. Malah salah seorang rakan sekerja Naruse, Hiroyuki Koba menyatakan, Naruse amat memahami karakteristik cesi kereta pandu uji, malah boleh memberi cadangan di mana struktur cesi boleh dikuatkan bagi memberikan pengendalian yang lebih sempurna.

Di atas dedikasi yang ditunjukkan oleh Naruse, pasukan R&D cuba memberikan maklum balas dari Naruse selepas sesi pandu uji dengan mengubah aspek kejuruteraan kenderaan seperti yang diminta oleh Naruse.

Sebagai contoh, Naruse pernah meminta ketinggian Toyota Avensis diubah, 6 bulan sebelum model tersebut dilancarkan. Namun disebabkan Naruse seorang yang amat berdedikasi dan dipandang tinggi di dalam Toyota, semua permintaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin.

Naruse menegaskan, setiap kereta harus ada perisa dan perangainya yang tersendiri, melalui tindak balas steering, pedal minyak, pedal brek, malah pergerakan kereta semasa selekoh, membrek dan memecut perlu diubah supaya ia melahirkan rasa seronok untuk dipandu. Jika seronok dipandu, maka ia adalah satu produk yang bagus.

Prinsip Naruse adalah mudah, pastikan kereta stabil dipandu dan bergerak dengan lancar, barulah perisa lain boleh ditambah.

Kereta hendaklah dicipta berdasarkan keadaan jalan yang bakal dilalui. Jika jalan berlopak seperti Malaysia, tetapan pada sistem suspensi terutama penyerap hentak dan spring tidak akan sama dengan tetapan pada kereta yang dibuat untuk jalan di Jepun.

Sebagai contoh, Toyota Sienta di Indonesia dibuat supaya ketinggian ia 25mm lebih tinggi dari model dijual di Jepun. Avanza yang dijual di Malaysia mempunyai kekerasan spring dan penyerap hentak yang berlainan dengan Indonesia, kerana jurutera Toyota mendapati Avanza sering dipandu laju di lebuh raya.

Sama juga untuk jentera yang dicipta untuk dipandu laju, Naruse menegaskan litar Nurburgring yang mempunyai selekoh berbelit-belit seperti percakapan menteri.

Sebanyak 73 selekoh dengan perubahan ketinggian 1000 kaki adalah satu medium yang sangat baik bagi pembangunan model baru. Litar sejauh 21km ini digelar neraka hijau oleh Jackie Stewart.

Jika anda biasa dengan permainan arked perlumbaan Gran Turismo, litar ini membuatkan cepat penat dan hilang fokus.

Sewaktu fasa pembangunan Toyota Supra A80, pada penghujung tahun 1980 Naruse akhirnya berjaya memujuk pengurusan Toyota untuk menghantar unit prototaip ke Nurburgring bagi ujian penilaian dan hasilnya amat memuaskan.

Supra mencipta satu kegilaan baru bagi sebuah kereta Sport mampu milik dan laku keras di pasaran. Bagi meningkatkan kemahiran pasukan pemandu ujian Toyota, Naruse memimpin sepasukan pemandu ujian Toyota dan menjadikan Litar Neraka Hijau ini sebagai tapak ujian mengasah bakat pemandu ujian Toyota.

Prinsip Naruse amat mudah, pastikan anda pandu dengan selamat dan di bawah masa 10 minit.

Sekitar tahun 2000, ketika Toyota sibuk membuat persiapan bagi pelancaran model Prius, Akio Toyoda yang baru kembali dari Amerika dinamakan sebagai bakal Presiden Toyota baru.

Naruse mencemuh hobi Akio Toyoda yang gemar menebas di padang golf sebagai membuang masa. Pada masa ini juga, Toyota menyepikan diri mengeluarkan kereta Sport menyebabkan Naruse sedikit kecewa.

“Saya tidak mahu diajar dan dipimpin oleh seseorang yang tidak tahu memandu dan tidak tahu apa – apa berkenaan kereta” itu ucapan pertama Naruse apabila berjumpa dengan Akio. (kalau kat Malaysia ni mungkin esoknya kau kena cari kerja lain )

Akio menyahut cabaran Naruse, dan semenjak dari itu Naruse melatih Akio memandu dengan cekap bermula dari perkara  asas seperti membrek, mengawal kereta di laluan berais, dan di semua litar ujian di Jepun.

Akio menilai semula arah tuju syarikat Toyoda yang hilang semangat kesukanan dan menjadi produk pilihan pakcik- pakcik yang bakal pencen.

Akio berpandangan memandu dengan cekap seperti yang diajar oleh Naruse menjadikan dia seorang pemimpin yang bagus. Bermula dari sini, Akio memberikan sokongan terhadap produk baru Toyota iaitu MRS dan Altezza.

Pada umur 60 tahun, Naruse merasakan sudah tiba masanya untuk di bersara.

Namun Akio memberikan satu nafas baru kepada Naruse, memimpin sepasukan jurutera Toyota mengeluarkan kereta Sport LFA. Naruse diberikan mandat dan kuasa melebihi ketua jurutera projek, sekiranya terdapat mana mana elemen pemanduan yang tidak disukai, Naruse berhak memberikan idea yang lebih baik dan ketua jurutera mestilah akur dengan keputusan tersebut.

Arahan pertama Naruse, semua proses pembangunan dan cesi hendaklah di jalan di Nurburgring. Kayaba dipilih pembekal penyerap hentak dan jurutera Bridgestone mestilah membuat perubahan pada aspek kejuruteraan bagi memenuhi citarasa Naruse.

Impian Naruse adalah membina sebuah kereta Sport yang mampu mengatasi Porsche, Audi dan BMW dari segala aspek. Naruse menegaskan penyerap hentak dan tayar adalah sebahagian dari feel atau perasa pemanduan.

Yamaha diberikan tugas membina enjin, dalam konfigurasi V, 10 silinder, 4800cc dan menghamburkan kuasa 553 kuasa kuda.

Arahan Naruse kepada Yamaha, hasilkan enjin yang cukup merdu didengar kerana Yamaha juga pengeluar alatan muzik dan ia bukanlah tugas yang sukar.

Bunyi yang dihasilkan oleh enjin ini adalah gabungan bunyi yang bermula dari intake manifold dan berakhir dengan ekzos Triplet memang amat sedap untuk didengar walaupun 1,000 kali.

Berbekalkan pengalaman Toyota dalam perlumbaan F1, sebuah mesin penenun fiber karbon dibina untuk membentuk cesi LFA. Naruse mahukan cesi LFA sangat ringan namun memiliki kelenturan tinggi.

Cesi, sistem gantungan dan tayar antara ramuan Naruse untuk memberikan perisa peribadi beliau kepada LFA

Naruse menegaskan bahawa, kereta ini perlu diuji secara ekstrem bersama dengan 2 pemandu baru yang perlu dilatih bagi menggantikan Naruse.

Obejektif ujian ini ialah, melatih pemandu ujian baru dengan vehicle dynamic Ekstreme dan pemandu baru ini boleh memberikan input kepada Toyota untuk pembangunan model terbaru.

Objektif kedua ialah menguji LFA di tempat ia diilhamkan dan mendapat input, iaitu Nurburgring. Akio Toyoda tanpa ragu ragu bersetuju dengan Naruse, maka Toyota Gazoo Racing menjadi realiti.

Pada tahun 2007, 2 unit Toyota Altezza dihantar untuk berlumba di perlumbaan getir 24 jam Nurburgring. Pada tahun 2008 pasukan Toyota Gazoo Racing kembali ke litar bersama dengan LFA yang sarat dengan samaran bagi ujian sebenar.

Dunia permotoran memerhatikan sebuah kenderaan lagenda dengan nama Super Supra diuji di atas litar yang kejam.

Juara Super GT Akira Iida diberikan tugas untuk memberikan data dan input bagaimana LFA beraksi dengan Ekstreme, dan kita bercakap mengenai kereta yang dipandu di litar melebihi 200km/h, diberikan input brek dan memasuki selekoh sekitar 120-160km/h.

Segala data pergerakan yaw, pitch, body roll, understeer dan oversteer diberikan kepada pasukan R&D Toyota. Barisan kepimpinan Toyota pula melihat Akio Toyoda berlumba dengan nama samaran Morizo membedal LFA di litar Lumba memberikan keyakinan kepada barisan pengarah Toyota untuk menamakan Akio Toyoda sebagai Presiden yang baru.

Apa Kata Pengkritik?

Car and Driver’s menyatakan LFA adakah satu produk yang sangat kompetitif pada harga yang ditawarkan jika dibandingkan dengan Enzo Ferrari dan Mercedes SLR McLaren.

Motor Trends memuji prestasi LFA dan dinamik pemanduan LFA selepas diuji di litar perlumbaan.

Chris Harris menyatakan LFA adalah kereta yang paling seronok dipandu di di Nurburgring dan memberikan inspirasi keyakinan yang tinggi.

Ben Barry menggelarkan LFA sebagai Buggati Veyron dari Jepun. Jeremy Clarkson yang bermulut celupar itu menyebut “Bloody brilliant” apabila memandu LFA.

Jeremy menegaskan LFA adalah antara kereta terbaik yang dipandu oleh beliau.

Jay Leno memuji LFA untuk aspek kejuruteraan, dinamik pemanduan, kawalan, keutuhan sistem cesi dan juga bunyi enjin yang menusuk kalbu. “One of greatest supercar come from Japan” tegas Leno

Lexus LFA Nurburgring Package

Pada tahun 2010, Naruse kembali ke Nurburgring buat kali terakhir bagi memandu uji LFA Nurburgring Package, sebuah LFA talaan khas dengan tambahan 10 kuasa kuda, sistem transmisi yang ditambah baik sebanyak 0.05 saat, penyerap hentakan yang lebih keras dan boleh laras dan GT wing yang lebih besar.

Pada tengahari 23 Jun 2010, selepas berpuas hati dengan talaan sistem suspensi, steering dan juga brek LFA ini, kumpulan pemandu uji Naruse bersiap sedia untuk pulang ke fasiliti kejuruteraan Toyota yang berdekatan. Namun bagaikan takdir sudah tertulis, prototaip LFA yang dipandu Naruse terbabas dan mengalami pelanggaran secara berdepan dengan sebuah BMW yang juga sebuah kenderaan ujian.

Kemalangan tersebut berlaku berdekatan dengan jalan L94 Boos. Kedua dua pemandu ujian BMW cedera parah, manakala Naruse menemui ajal di situ.

Gazoo Racing Meister if Nurburgring GRMN

Sepuluh bulan selepas kematian Naruse, Akira Iida memandu LFA mencatatkan rekod perlumbaan 7:14:14 menewaskan rekod yang dibuat oleh Porsche GT2 RS, dengan beza sejauh 3 saat.

LFA kembali ke pentas perlumbaan 24 jam Nurburgring dan mendapat tempat ketiga pada tahun 2011 dan menjadi juara pada tahun 2012.

Akio Toyoda yang merasakan kehilangan seorang guru, pada mulanya ingin menutup terus operasi Gazoo Racing. Tetapi, menukar keputusan tersebut kerana pada pandangan Akio, Toyota harus belajar sesuatu dari Gazoo Racing.

Sebagai meneruskan legasi Naruse, terdapat beberapa produk Toyota yang diadaptasi dari input pemanduan Naruse dihasilkan dan dijual kepada umum dan dilekatkan dengan lencana GRMN. Gazoo Racing tuned YB Meister of Nurburgring, seperti yang dipakai oleh Yaris GRMN.

Toyota Supra 2019 yang dihasilkan walaupun mempunyai sistem cesi, enjin, suspensi dan enjin yang sama dengan BMW Z4, namun saya percaya dengan input pemandu uji Toyota yang menjadi anak didik Naruse, akan mempunyai feel dan perasanya yang tersendiri. Tak akan sama dengan Z4.

Akhir sekali, saya ingin menegaskan lampu kabus merah menyala yang dipasang pada bampar belakang Toyota Vios bukanlah idea Hiromu Naruse.

Itu memang pasti

Tags
Google ads
Back to top button