Artikel Pilihan

SEJARAH RINGKAS CUSCO RACING – SYARIKAT KECIL BERJIWA BESAR

Bagi kaki kereta yang dah lama berkecimpung dalam dunia modifikasi sudah tentu biasa dengar nama Cusco dan peralatan perlumbaan yang dikeluarkan mereka. Antara peralatan paling popular keluaran syarikat tuning dari Jepun ini ialah ‘strut tower brace’ ataupun biasa dipanggil ‘strut bar’ dan ia berfungsi menambah kestabilan kereta khususnya ketika mengambil selekoh.

Itu satu fakta mengenai Cusco yang semua orang tahu. Satu lagi fakta yang tidak diketahui ramai ialah pengasasnya, Yuji Kase ialah seorang yang fanatik dengan sukan rali. Punyalah minat sampaikan beliau menggalakkan staf-staf beliau menyertai sukan rali secara professional. Cusco kini sudah berusia 40 tahun pada bulan ini dan kami ingin mengimbau kembali sejarah syarikat ini secara ringkas, khususnya kehebatan mereka dalam dunia perlumbaan. Jangan main tampal stiker je tapi apa pun tak tau.

Syarikat induk kepada Cusco, Carrosser telah ditubuhkan pada Disember 1977 sebagai sebuah bengkel rali di wilayah Gunma. Kase sendiri cukup berminat dengan dunia rali dan pernah menyertai pelbagai peringkat rali di Jepun dengan menggunakan Toyota Corolla TE71 milik beliau. Kase pernah memenangi pelbagai kejuaraan dalam penyertaan beliau dan telah membangunkan pelbagai alat ganti kereta dengan mengujinya pada kereta milik beliau sendiri.

Pada tahun 1984, Kase telah menyertai World RAC (kini dikenali dengan nama WRC) dengan menggunakan kereta AE86 milik sendiri dan telah memenangi beberapa peringkat dalam Group N. Ia merupakan satu-satunya AE86 yang pernah memenangi perlumbaan RAC dengan pemandu Jepun. Kereta itu juga dilengkapi dengan MFE fuel-trimming ECU Carrossers rekaan Kase sendiri. Produk inilah yang mencetus kepada timbulnya nama “Cusco” yang diambil dari nama ibukota kerajaan silam Inca. Ia merupakan sebuah bandar yang menjadi pusat kemajuan sains, teknologi dan budaya.

Apa yang kita kenali dengan nama Cusco hari ini merupakan satu daripada cawangan yang bernaung di bawah payung Carrosser. Mereka menghasilkan peralatan kereta berprestasi tinggi dan mendapat pengiktirafan Japan Automobile Federation (JAF). Selain daripada Cusco terdapat juga sub-jenama lain di bawah Carrosser seperti “Safety 21” yang menghasilkan peralatan keselamatan dan “Vacanza” yang menghasilkan suspensi gaya-VIP khususnya untuk gaya dan bukannya prestasi.

Menjelang tahun 80-an, Kase berundur sebagai pemandu dan melantik Kiyoshi Inoue sebagai pengganti beliau dengan memandu Mitsubishi Galant VR4 E39 dari tahun 1989-95. Inoue menjadi pemandu nombor satu Cusco dan bertanding dalam perlumbaan WRC. Tahun 1989 menyaksikan mereka memenangi Group N dalam Rali Acropolis dan Inoue menjadi pemandu Jepun pertama memenangi rali tersebut.

Bila Mitsubishi Lancer Evolution (CD9) diperkenalkan, Kase membeli tiga unit kereta tersebut dan menukarnya sebagai jentera rali untuk pasukan beliau dengan beliau sendiri sebagai salah seorang pemandu selain Haruo Oshima dan Yukihiko Sakurai memandu dua kereta lagi. Tujuan beliau ialah untuk membuktikan yang setiap jurutera termasuk beliau sendiri berkemampuan untuk bertanding sebagai pelumba dan operator pasukan.

Dalam masa dua tahun sahaja, mereka berjaya memperoleh 5 kemenangan keseluruhan dalam All-Rally Japan dan Team Cusco mendapat tempat kedua keseluruhan. Dalam tahun 1993 pula mereka berjaya memenangi tempat pertama dan kedua membuktikan yang projek Kase ini memang cukup berjaya. Tambah manis lagi bila beliau sendiri bertindak sebagai salah seorang pemandu dalam pasukan Cusco Racing.

BACA: PISTON? APA PISTON? SAYA RX-7 ROTARY, SAYA TAK PERLU PISTON PUN!

Mereka kemudian telah menghasilkan kereta rali khas untuk All-Japan Dirt Trials menggunakan Mitsubishi GTO dan pernah menaiki podium beberapa kali menggunakan kereta ini. bukan itu sahaja, kereta ini juga pernah bersaing dengan Suzuki Swift yang telah diubahsuai dan dipandu oleh Monster Tajima sendiri.

Sebaik hubungan dengan Mitsubishi berakhir, Cusco mengikat perjanjian dengan Subaru dan memasuki era kejayaan mereka. Yukihiko Sakurai menjadi pemandu utama Cusco dan Group A WRC berkolaborasi dengan Pasukan Prodrive UK. Dengan menggunakan jentera ini, Cusco kini telah bertukar kepada pengeluar bertaraf dunia.

Selepas menguasai pentas rali, Kase dan pasukannya mula bergerak untuk menguasai arena Japan Grand Touring Championship ataupun JGTC. Dalam percubaan mereka menggunakan Subaru Impreza sebagai asas, mereka telah memperolehi dua kemenangan keseluruhan dan merebut petak pertama sebanyak tiga kali. Malah pada perlumbaan JGTC yang diadakan di Malaysia suatu ketika dulu, mereka mencipta rekod baru sebagai kereta AWD pertama yang pernah memenangi perlumbaan JGTC.

Kebelakangan ini Cusco semakin aktif dalam perlumbaan di atas permukaan tar khususnya gymkhana. Perlumbaan seperti ini juga menjadi medan Cusco menguji produk mereka seperti mana mereka telah menguji LSD 1-way keluaran mereka sebelum ianya dipasarkan.

Dalam masa 40 tahun operasi mereka, Cusco telah membina jentera lumba yang jauh lebih banyak dari tuner berskala besar lain (pada masa yang sama mereka masih mempunyai jumlah pekerja yang kecil – tak sampai pun 100 orang). Walaupun begitu pencapaian mereka memang cukup gemilang dengan pelbagai kemenangan dari pelbagai kategori perlumbaan. Walaupun Kase bukan lagi peneraju syarikat ini tapi pendekatan yang diambil beliau diteruskan sehingga ke hari ini.

Google ads
Back to top button