" "
Artikel Pilihan

SELAMAT TINGGAL FORD FIESTA WRC

Selama beberapa tahun dan ketika, jenama Ford Fiesta dalam pentas saingan perlumbaan rali dunia WRC dilihat cukup signifikan baik kepada Ford mahu pun kepada peminat sukan rali sendiri. Sudah tentu, pasukan M-Sport Ford selaku pengeluar dan pembuat kepada model ini juga mempunyai impak yang tersendiri.

Untuk rekod, Ford Fiesta mula terlibat dalam perlumbaan rali melalui pengenalan model Ford FIesta RS WRC yang dibina oleh pasukan M-Sport Ford bagi menghadapi perlumbaan rali dunia pada tahun 2011 sehingga 2016. Jentera rali tersebut dibina berdasarkan model jalanan Ford Fiesta bagi menggantikan model Ford Focus RS WRC ketika itu. Ini bermakna, sudah satu dekad lamanya jenama Ford Fiesta ini beraksi di pentas WRC. Sesuatu rekod yang boleh dibanggakan buat pasukan M-Sport.

Ketika debut Ford Fiesta RS WRC di Rali Sweden pada tahun 2011, jentera ini telah pun membuktikan kehandalannya dengan memenangi perlumbaan tersebut ketika ianya dipandu oleh Mikko Hirvonen. Dan bertambah menarik lagi, podium kedua dan ketiga turut disapu bersih oleh jentera Ford Fiesta RS WRC menerusi gandingan Mads Ostberg dan juga Jari-Matti Latvala.

Ketika pada tahun 2015, Ford Fiesta RS WRC telah diberikan kerja naik taraf penuh meliputi perubahan pada bahagian hadapan dan paling penting enjin baharu yang dibina sepenuhnya oleh M-Sport dengan bantuan teknikal daripada Ford. Sebelumnya, jentera ini menggunakan enjin yang dibina oleh Pipo Motors.

Dan pada tahun 2017, M-Sport sekali lagi memperkenalkan model baharu Ford Fiesta WRC bersama gandingan lagenda dari Perancis Sebastian Ogier untuk memandu jentera utama. Dan hasilnya terus dapat dilihat sewaktu pembukaan di Monte Carlo apabila Sebastian Ogier berjaya memenangi perlumbaan pembukaan dan beberapa perlumbaan berikutnya.

Malah tahun 2017 diibaratkan tahun gemilang buat M-Sport apabila Sebastian Ogier memenangi kejuaraan dunia WRC serta M-Sport Ford sendiri sebagai juara kategori Pengeluar.

Penguasaan Sebastian Ogier bersama jentera Ford Fiesta WRC diteruskan pada tahun 2018 dengan beliau sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan WRC. Cumanya kini prestasi pasukan M-Sport Ford dan jentera Fiesta mereka kelihatan sedikit ketinggalan dalam tempoh dua tiga tahun kebelakangan ini, Agak lama tidak menaiki podium. Apa pun, Ford Fiesta masih merupakan lagenda jentera WRC yang hebat sebenarnya. Selamat tinggal Ford Fiesta WRC. Selamat datang Ford Puma Rally1.

BACA : WRC 2022 – M-SPORT DAN TOYOTA DAH BERSEDIA. TAPI HYUNDAI APA CERITA?

BACA : BUKAN HOTWHEELS TAPI LEGO FORD FIESTA WRC, MUSTANG PUN ADA SEKALI

Google ads

B K

Back to top button