Artikel Pilihan

SENARAI KERETA ENJIN TENGAH, TAPI BUKAN SUPERCAR

Sebut saja Ferrari atau Lamborghini, kedua-duanya berkongsi beberapa persamaan seperti buatan Itali, rekaan eksotik Itali, enjin saiz besar dengan cukai jalan boleh beli Myvi sebiji dan juga kebanyakan dihasilkan dengan enjin tengah. Enjin tengah atau MR yang kami maksudkan di sini ialah enjin dipasang di tengah-tengah cesi di antara roda depan dan juga belakang.

Kereta yang biasa digunakan oleh kita biasa datang dengan enjin depan pacuan depan (FF) atau enjin depan pacuan belakang (FR). Enjin MR (Mid Engine Rear Wheel Drive) atau AWD ini biasa digunakan oleh supercar dan juga hypercar yang mementingkan prestasi. Ia agak susah untuk dibuat, kos yang mahal dan mengambil ruang penumpang menjadikan kabin agak kecil.

Jadi biasa kereta enjin tengah ini akan digunakan oleh supercar dan juga hypercar. Tapi ini tidak menghalang beberapa model kereta biasa daripada menggunakan rekaan MR. Kami senaraikan kereta sport berenjin tengah yang anda boleh beli tanpa was-was

1. Toyota MRS- dihasilkan dalam 3 generasi dari tahun 1984 hingga tahun 2007. Ia merupakan kereta sport 2 pintu, enjin MR pacuan belakang dengan saiz enjin 1500cc, 1600cc, 1800cc, 2000cc dan 2200cc 4 silinder sahaja dan generasi kedua datang dengan pilihan turbo. Walaupun saiz enjin kecil, Toyota meletakkan pengalaman pemanduan dan pengendalian yang bagus sebagai faktor utama untuk menjual kereta ini

2. Honda S660 – kalau anda rasa MRS sudah mencapai harga kayangan, cuba semak kei-car keluaran Honda ini. Walaupun hanya dikuasakan dengan enjin 3 silinder turbo 660cc yang menghasilkan 63 kuasa kuda sahaja disebabkan peraturan Jepun, berat kereta ini hanyalah 630kg sahaja. Ditambah pula dengan beberapa ciri seperti NACA Duct, ia sebenarnya supercar dengan enjin kecil

3. Mitsubishi i – walaupun tidak terkenal seperti 3000GT atau Lan Evo, kereta kei buatan Mitsubishi ini dikuaskan dengan enjin 3 silinder 660cc yang menghasilkan 50 kuasa kuda sahaja dengan enjin dipasang dibawah tempat duduk belakang. Jurutera menghasilkan rekaan ini bagi membolehkan ruang maksima dicapai serta mampu menahan impak kemalangan dari depan

4. Mazda MX-5 – merupakan kereta sport idaman kami dan juga telah dijual sebanyak 1 juta unit di seluruh dunia. Walaupun enjin berada di depan, enjin ini dipasang di belakang gandar depan bagi agihan berat sekata depan belakang pada ratio 50:50. Ini menjadikan MX5 sangat lincah di selekoh walaupun generasi baru hanya dikuasakan dengan enjin 1500cc dengan berat 961kg saja.

5. Toyota Supra A90- walaupun dikritik hebat kerana membangunkan Supra atas platform sama dengan BMW, Supra A90 sebenarnya lebih baik dari Supra A80 dari segi agihan berat. Enjin B58B 3000cc atau B48B 2000cc dipasang di bahagian belakang gandar depan menjadikan agihan berat 50:50. Kaedah ini juga dipanggil sebagai Front Mid Engine.

6. Alfa Romeo 4C Spyder – siapa kata kami tak suka Alfa maka anda silap besar. Alfa 4C Spyder adalah antara kereta sport paling seksi yang kami lihat yang dihasilkan oleh Alfa. Enjin 1.75 turbo menghasilkan 240 kuasa kuda dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7 kelajuan dipasang dibelakang pemandu menjadikan agihan berat 38% depan dan 62% belakang

7. Lotus Elise – diperkenalkan semenjak dari tahun 1996 sehingga hari ini, Lotus Elise mengekalkan konsep kereta sport yang ringan, dengan berat sekitar 862kg sahaja. Enjin pula diambil dari Toyota iaitu 2ZR-FE supercaj yang menghasilkan 250 kuasa kuda dan 265Nm tork bagi varian Cup 260. Dengan cesi yang ringan, enjin yang dipasang di depan gandar belakang memberikan pengendalian yang bagus pada kereta sport ini

8. Alpine A110S -merupakan sebuah kereta sport yang dihasilkan oleh Automobiles Alpine dengan enjin 1.8 turbo TCe M5P yang dibangunkan oleh Nissan-Renault. Varian ini menghasilkan 296 kuasa kuda dan 320Nm tork sebelum dihantar ke tayar belakang menerusi transmisi klac berkembar 7 kelajuan. Dengan berat hanya 1,114kg sahaja, Alpine 110S boleh memecut 0-100km/j dalam masa 4.5 saat dan halaju maksmimum dihadkan pada 250km/j.

Google ads
Back to top button