Artikel Pilihan

SKUAD MUSTANG MACH-E GT – SENJATA TERBARU NYPD UNTUK PERANGI JENAYAH

NYPD mula terima Mustang Mach-E yang ditempah mereka sejak 2001. Menurut laporan New York Post, 100 unit Mach-E GT bakal melakukan rondaan di sekitar kotaraya New York sebaik kesemua tempahan diserahkan tapi buat masa kini hanya 24 unit yang baharu diterima.

Kenderaan-kenderaan EV ini telah diagihkan ke presint lain seperti Manhattan, Brooklyn dan Queens. Jangan main-main kerana ini adalah kereta paling laju pernah dibeli oleh NYPD. Mach-E GT ini dilengkapi dua motor elektrik dan pilihan bateri Extended Range dan mampu menghasilkan 480hp kuasa. Pecutan 0-100 kmj hanya mengambil masa 3.8 saat dan jarak operasinya ialah sekitar 435 kilometer.

Jadi kalau nak mengejar penjahat pun pastikan jaraknya kurang dari 400 kilometer. NYPD kot takkan tak boleh. Punyalah terer dalam TV.

Menurut Inspektor Scott Olexa, stesen pengecas akan disediakandi setiap balai polis walaupun kotaraya New York sudah pun mempunyai jaringan stesen pengecas yang boleh dikatakan menyeluruh. Maklum balas yang diterima oleh pegawai-pegawai yang memandunya setiap hari juga cukup baik.

Berbeza dari model standard, Mach-E polis ini dilengkapi dengan bumbung logam dan bukannya bumbung kaca manakala tingkap sisinya pula digantikan dengan kaca kalis peluru. Bahagian-bahagian pula sama seperti model produksi lain.

Bandaraya New York sebelum ini mencatatkan perbelanjaan bahan api sebanyak USD108 juta setahun untuk keperluan 30,000 kenderaan milik mereka termasuk kereta-kereta polis. Pengenalan kenderaan EV sebanyak 100 unit mungkin tidak mencukupi untuk merendahkan jumlah kos tersebut tetapi dalam masa jangka panjang ia dijangka menampakkan perbezaan yang besar.

Satu kelebihan kereta polis EV ialah ia cukup senyap untuk menghampiri penjenayah jika diperlukan. Bayangkan pemandu mabuk tengah buat donat tengah jalan tiba-tiba siren dibunyikan dengan lampu amaran dari depan dan belakang. Baru tahu erti penyesalan.

Google ads
Back to top button