
FORD RANGER RAPTOR – KERETA KESELAMATAN BAHARU SUPERCARS CHAMPIONSHIP
Repco Supercars Championship Australia telah menggantikan kereta keselamatan Ford Mustang mereka dengan Ford Ranger Raptor serba baharu. Satu langkah yang boleh dikatakan tak pernah dibuat orang tapi peduli apa kan? Dua-dua pun keluaran Ford.

Memang tidak dapat dinafikan yang Mustang lebih sesuai untuk digunakan di atas litar berbanding Ranger Raptor tapi kereta keselamatan ini bukan sekadar nama tapi ia juga salah satu instrumen pengiklanan Ford Performance. Bayangkan tontonan yang bakal diperolehi oleh Ranger Raptor sepanjang masa perlumbaan berlangsung.
Ranger Raptor ini diberi kemasan cat kuning terang dengan sentuhan biru dan hijau yang menyamai warna korporat BP sebagai penaja bahan api untuk perlumbaan tersebut.

Mustang GT dikekalkan tapi cuma bertindak sebagai kereta keselamatan sokongan manakala Ford Escape ST-Line akan digunakan sebagai kereta perubatan dan dipandu oleh Dr. Carl Le. Mesti kaki lumba juga doktor ni.
Jurucakap Ford Performance menyatakan yang mereka ingin mengejutkan orang ramai dengan kemampuan dan versatiliti Ranger Raptor dalam perlumbaan tahun ini. Tentu menarik untuk menyaksikan sebuah trak pikap berada di hadapan kelompok supercar dalam perlumbaan.







