Buletin

TERLALU MUDAH DICURI, BANDAR ST. LOUIS MAHU SAMAN HYUNDAI DAN KIA

TikTok dan platform media sosial lain baru-baru ini banyak mendedahkan kelemahan kenderaan Hyundai dan Kia. Ini membuatkan kenderaan jenama itu menjadi sasaran pencuri.

Dengan menggunakan hashtag ‘Kia Boyz’, pengguna telah berkongsi video yang mengajar orang ramai cara untuk mencuri model tertentu dari Kia dan Hyundai buatan tahun 2010-2021 kerana ia tidak mempunyai sistem immobilizer.

Kini, selepas beberapa tindakan undang-undang sivil terhadap dua pembuat kereta Korea itu, nampaknya bandar St. Louis menjadi bandar tumpuan kes kecurian kenderaan Hyundai dan Kia.

Sepanjang tahun ini, kes kecurian kereta di St. Louis meningkat dua kali ganda. Bandar itu melaporkan purata 21 kecurian Kia dan Hyundai sehari pada Jun yang kemudian meningkat kepada 23 sehari pada Ogos.

Bandar-bandar seperti Memphis, Cincinnati, Columbus dan Grand Rapids semuanya telah membuat kenyataan umum tentang lonjakan kes kecurian kereta Kia dan Hyundai. Milwaukee juga mengatakan bahawa Hyundai dan Kia perlu “bertanggungjawab secara langsung.”

Sekiranya St. Louis memfailkan tuntutan mahkamah terhadap jenama itu, ia akan menjadi bandar pertama yang berbuat demikian.

Menurut laporan Fox Business, surat baru-baru ini yang dihantar kepada syarikat Korea dari Sheena Hamilton, Kaunselor St. Louis City, meletakkan kesalahan tersebut pada pembuat kereta.

Kaunselor Hamilton turut memberi amaran kepada Hyundai dan Kia jika mereka gagal membuat “kemajuan yang memuaskan untuk mengurangkan gangguan awam” dia akan berusaha untuk memfailkan saman.

Hyundai dan Kia kini bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang dan majlis perbandaran di seluruh Amerika untuk mengurangkan keraguan pelanggan terhadap jenama mereka dengan menderma instrumen kunci roda.

Kini, ia menawarkan kit immobilizer selepas pasaran yang boleh dipasang di pengedar Hyundai dan Kia. Sudah tentu bukan percuma, tetapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan kemungkinan kecurian.

Google ads
Back to top button