Buletin

PROTON PERKUKUH DOMINASI PASARAN, JUALAN EV MENINGKAT PADA FEBRUARI

PROTON terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran automotif Malaysia dengan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 13.2 peratus pada Februari 2025.

Pemulihan momentum pasaran menyaksikan sebanyak 11,232 unit kenderaan terjual, memberikan PROTON anggaran bahagian pasaran sebanyak 17.2 peratus daripada jumlah volum industri (TIV) sebanyak 65,276 unit.

Tiga model utama PROTON kekal mendominasi segmen masing-masing dalam jualan tahun ke tarikh (YTD), dengan Proton S70 terus unggul sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia.

Sejak pelancarannya, model ini telah menarik perhatian dengan gabungan prestasi, ruang luas, serta teknologi moden, mencatatkan jualan sebanyak 2,340 unit dalam dua bulan pertama tahun ini.

Dalam segmen SUV, Proton X50 kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia dengan hampir 130,000 unit terjual sejak dilancarkan pada 2020, menjadikannya penanda aras kejayaan jualan dalam kategori ini.

Sementara itu, Proton X90 terus mendominasi SUV segmen-D, manakala Proton X70 mencatatkan jualan 746 unit sepanjang Februari.

Proton Saga pula meneruskan reputasinya sebagai model PROTON paling laris, dengan 5,024 unit terjual bulan lalu, diikuti oleh Proton Persona (1,323 unit) dan Proton Iriz (283 unit).

Februari turut menjadi bulan penting bagi operasi eksport PROTON. Kilang pemasangan CKD baharu di Mesir, yang dikendalikan oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF), telah memulakan produksi versi pemanduan kiri (LHD) Proton Saga untuk pasaran Mesir dan Afrika Utara.

Dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 unit serta pelaburan bernilai AS$50 juta, fasiliti ini menjadi langkah strategik dalam mengukuhkan kehadiran PROTON di rantau tersebut.

Selain itu, kejayaan EV pertama PROTON, Proton e.MAS 7, semakin mendapat perhatian. Model ini mencatatkan lebih 4,500 tempahan sejak diperkenalkan, dengan 580 unit dihantar pada Februari, menjadikan jumlah penghantaran keseluruhan melebihi 1,000 unit.

Permintaan terhadap model ini membuktikan keyakinan pengguna terhadap teknologi EV PROTON, selagi ia mampu memenuhi jangkaan pelanggan.

Proton e.MAS 7 juga mula memasuki pasaran antarabangsa dengan 50 unit telah dihantar ke Nepal sebagai persediaan pelancaran rasmi, manakala unit tambahan dieksport ke Singapura dan Trinidad & Tobago untuk tujuan evaluasi.

Dengan sasaran 10 peratus daripada jumlah jualannya datang dari pasaran luar menjelang 2030, PROTON terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperluaskan kehadiran globalnya.

Google ads
Back to top button