
STELLANTIS MALAYSIA MULA BEROPERASI – PERKENALKAN PEUGEOT 408, PEUGEOT LANDTREK CKD
Stellantis N.V. (Stellantis) baru-baru ini mengumumkan Syarikat Jualan Nasional Stellantis Malaysia (Stellantis Malaysia) memulakan operasi secara rasmi pada 1 Mac 2024.
Langkah strategik ini menandakan permulaan rasmi bagi entiti organisasi yang akan mengarahkan dan mengurus pemasaran, jualan, pengedaran serta selepas jualan bagi jenama Stellantis di Malaysia.
Kehadiran Stellantis Malaysia menandakan satu inisiatif perniagaan baharu yang sejajar dengan cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN.
Ini turut menggambarkan komitmen mereka dalam mengikuti rancangan elektrifikasi dan strategi Global Dare Forward 2030.

Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais menegaskan bahawa keutamaan utama mereka adalah mempercepatkan pertumbuhan pasaran, mengembangkan portfolio produk, mencipta peluang pengedar baharu di seluruh negara dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Stellantis Malaysia kini telah mengambil alih peranan sebagai prinsipal jenama, menggantikan Bermaz Auto yang sebelum ini adalah pengedar untuk jenama Peugeot di Malaysia.
Selain Peugeot, Stellantis juga mendedahkan barisan kenderaan masa depan yang akan diperkenalkan melalui Stellantis Malaysia pada acara ‘Hari Pelabur’.
Antara kenderaan diperkenalkan termasuklah Peugeot 408 yang bakal dilancarkan pada suku kedua tahun 2024, dan Peugeot Landtrek pemasangan tempatan (CKD).

Tambahan, beberapa model dari jenama lain di bawah portfolio Stellantis turut dipamerkan, antaranya Citroën C3 Aircross, Alfa Romeo Tonale MHEV, dan Jeep Wrangler.
Penting untuk ditekankan bahawa Stellantis bakal memaksimumkan kilangnya di Gurun, Kedah sebagai hab pembuatan serantau untuk menghasilkan kenderaan diperbuat secara tempatan bagi rakyat Malaysia dan pasaran eksport di rantau ASEAN.
Dengan pelaburan lebih RM2 bilion, Stellantis memperkenalkan pelantar modular STLA Medium yang direka bentuk untuk membolehkan pengeluaran kenderaan berbilang tenaga (BEV, ICE, MHEV).
Ini sekaligus membuka peluang bagi pengeluaran kenderaan tempatan dari jenama Stellantis seperti Jeep dan Citroën di kilang Gurun.
Pusat Panggilan sehenti juga telah ditubuhkan bagi menyokong pemilik kenderaan Peugeot, DS, dan Citroën di Malaysia, menawarkan khidmat sokongan pelanggan berpusat berkaitan jualan, selepas jualan, menangani maklum balas, aduan serta menyediakan bantuan tepi jalan 24/7.
Bagi pelanggan yang memerlukan bantuan, mereka boleh menghubungi talian Bebas Tol 1800-18-STLA (7852) atau menghantar e-mel kepada customersupport.my@stellantis.com.
Keseluruhan, perkenalan Stellantis Malaysia adalah langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Stellantis dalam pasaran kenderaan Malaysia.
Dengan fokus yang jelas pada pertumbuhan pasaran, inovasi produk, dan pengalaman pelanggan, Stellantis Malaysia dijangka akan menjadi pemain utama dalam industri kenderaan tempatan.
- BACA: ISUZU MALAYSIA LANCAR ISUZU FVR SMOOTHER EURO 5, AMT 6-KELAJUAN – TINGKAT PRESTASI DAN LEBIH CEKAP
- BACA: MOTUL: 30 TAHUN TERUS GEMILANG, JALIN KERJASAMA STRATEGIK DENGAN RAKAN PENGEDAR TERKEMUKA DI MALAYSIA
- BACA: FERRARI ENZO EKSIDEN DI AUTOBAHN – TIGA ORANG CEDERA
- BACA: PORSCHE PANGGIL SEMULA LEBIH 8000 UNIT 911 – CERMIN HADAPAN BERISIKO TERCABUT DALAM KEMALANGAN