
QJMOTOR SRT600 DIDEDAHKAN, GANTI SRT550
QJMotor sememangnya antara pengeluar yang paling cepat memperkenalkan motosikal baharu dalam usaha memberikan saingan sengit terhadap pengeluar terkemuka lain.
Terbaru, QJMotor telah pun memfailkan kelulusan jenis kenderaan di China yang memaparkan dua motosikal ‘adventure’ serba baharu dengan nama SRT600 yang didakwa sebagai pengganti kepada SRT550 sedia ada.

Apa yang menarik perhatian, walaupun dokumen kelulusan tersebut menunjukkan motosikal berkenaan membawa lencana 600 dan kod nama QJ600 namun model baharu itu masih lagi dikuasakan enjin parallel-twin 554cc yang sama seperti SRT550.
Bagaimanapun, kuasa puncak dinyatakan dalam dokumen kelulusan jenis kenderaan itu jelas menunjukkan kenaikan mendadak dari 47hp kepada 60hp. Berat jentera juga menurun dari 235kg kepada 220kg.

Selain itu, rekaan keseluruhan jentera juga menampakkan perubahan ketara dari SRT550 yang tampil dengan rupa ‘ADV’ lebih konvensional kepada rupa bentuk yang lebih moden mirip SVT650 yang diperkenalkan sebelum ini. Selain lampu utama, juga terdapat lampu kabus (fog lamp) di sebelah kiri dan kanan.
Kelengkapan lain turut kelihatan termasuk brek radial Brembo serta rim 19-inci depan dan 17-inci belakang. Bagaimanapun, terdapat dua jenis varian, rim aloi dan lidi (spoke).