Buletin

STELLANTIS – SYARIKAT KERETA MANA PULA?

Sebelum ini penulis ada membaca mengenai jualan kereta di peringkat dunia. Di dalam infografik tersebut tertera sebuah nama automotif yang asing tetapi berjaya menguasai beberapa pasaran di dunia.

Nama yang dimaksudkan ialah Stellantis dan membuatkan pembaca tertanya mengenai syarikat itu.

Adakah ini syarikat baharu? Bagaimana secara tiba-tiba boleh menguasai pasaran?

Jawapannya ialah baharu dari segi kumpulan tetapi lama dari sudut penubuhan syarikat di bawahnya.

Stellantis adalah nama kepada kumpulan baharu susulan penggabungan 50:50 di antara Peugeot S.A. (Groupe PSA) dan Fiat Chrysler Automobiles N.V. (FCA).

Stellantis mempunyai maksud menarik di mana perkataan stella berasal dari bahasa Latin iaitu untuk bersinar dengan bintang-bintang. 

Logo yang digunakan melambangkan warisan bernilai tinggi oleh syarikat pengasas dan gabungan kekuatan 14 jenama automotif di bawahnya serta kepelbagaian latar belakang profesional pekerja di kesemua lokasi syarikat.

Ianya juga visual yang mewakili semangat optimis, tenaga dan pembaharuan syarikat yang pelbagai dan inovatif yang bertekad untuk menjadi salah satu peneraju baharu dalam mobiliti lestari era akan datang.

Pengenalan logo itu juga adalah langkah terbaru ke arah melengkapkan penggabungan yang dijangka selesai pada penghujung suku pertama 2021, bergantung kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa.

Berikut ialah ringkasan mengenai kedua-dua syarikat:

FCA

Fiat Chrysler Automobiles (FCA) adalah pembuat kenderaan global yang mereka bentuk, membangunkan, mengeluarkan dan menjual kenderaan dengan pelbagai jenama seperti Abarth, Alfa Romeo, Chrysler, Dodge, Fiat, Fiat Professional, Jeep®, Lancia, Ram dan Maserati.

FCA juga menawarkan komponen dan perkhidmatan melalui jenama Mopar dan beroperasi di sektor komponen dan sistem pengeluaran di bawah jenama Comau dan Teksid.

FCA mempunyai hampir 200,000 ribu pekerja di seluruh dunia.

Groupe PSA

Kumpulan PSA mempunyai lima jenama kereta iaitu Peugeot, Citroën, DS, Opel dan Vauxhall dan turut menawarkan pelbagai jenis mobiliti dan perkhidmatan pintar di bawah jenama Free2Move.

Kumpulan PSA juga merupakan inovator awal dalam bidang kereta autonomi dan berhubung (connected).

Kenderaan Peugeot ditawarkan di lebih 160 buah negara dan pada tahun 2019 mencatatkan jualan hampir 1.5 juta unit di serata dunia.

Citroën pula satu lagi syarikat yang mempunyai sejarah panjang dan pada tahun 2019 mencatatkan jualan sebanyak sejuta unit di lebih 90 buah negara serata dunia.

Vauxhall dan Opel baru sahaja dimiliki Kumpulan PSA pada tahun 2017 selepas lama berada di bawah General Motors.

BACA: FIAT PANDA (MACAM PANDA) DAN MENANG ANUGERAH 4X4 2019

BACA: PEUGEOT 3008 2020, OBJEK SENI ATAU SUV?

BACA: JEEP RENEGADE PHEV, CANTIK JUGA KAN?

Google ads
Back to top button