
RENAULT BAKAL BERGABUNG DENGAN SYARIKAT CHINA – TAK DAPAT LAWAN KITA JADI KAWAN
Selepas VW menarik diri dari bekerjasama dengan Renault untuk menghasilkan EV mampu milik, Renault tidak mati kutu dan memilih untuk berkerjasama dengan syarikat dari China. “If you cannot beat them, join them”, ko guano bea? Perkara itu disahkan oleh pengeluar dari Perancis itu dalam usaha mereka untuk menghasilkan EV mampu milik baharu.

EV yang dimaksudkan dikatakan juga bakal menjadi Twingo generasi baharu. Ini berikutan pasaran EV yang semakin menurun memaksa pengeluar untuk menghasilkan EV yang lebih murah.
Bukan itu sahaja mereka juga terpaksa bersaing dengan pengeluar EV China yang mempunyai kemajuan teknologi dan bekalan untuk menghasilkan EV yang berharga jauh lebih murah.

Berbeza dengan sebelum ini di mana CEO Renault, Luca de Meo dengan lantang menggesa pengeluar-pengeluar kenderaan dari Eropah supaya membentuk consortium ala Airbus untuk menghasilkan EV mampu milik sekali gus menyaingi produk import dari China yang memasuki pasaran Eropah.
Terbaru dalam satu kenyataan kepada AutoNews, Renault menyatakan yang mereka akan membangunkan kereta tersebut bersama syarikat dari China. Ia bakal diterajui oleh Ampere yang merupakan divisyen EV Renault.
Rekabentuk dan kejuruteraan Twingo baharu akan dilakukan di Perancis. Kerjasama ini dikatakan akan menjimatkan masa dan kos untuk membolehkan harga kereta tersebut diletakkan di bawah paras harga €20,000 (RM102,000). Produksi akan diadakan di Eropah dan kemungkinan besar di kilang Slovenia mereka tempat Twingo dihasilkan.
Awal tahun ini juga VW menyatakan mereka menghasilkan EV entry-level yang juga berharga sekitar €20,000. Mereka bagaimanapun akan menghasilkannya secara bersendiri.
Nama syarikat China yang menjadi rakan kongsi mereka masih belum didedahkan tapi Renault berharap mereka dapat mempelajari sesuatu tentang pengeluaran EV. Maklumlah sajalah perkembangan EV China sekarang memang sangat pesat berbanding negara lain di dunia ini.







