Buletin

SUPER KIP UMUM BERSARA

Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, sedia melepaskan segala yang dicintainya dalam sukan pemotoran apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan itu selepas lima musim bersaing dalam Kejohanan Dunia MotoGP.

Khairul Idham, yang lebih mesra dengan panggilan Super KIP, menjelaskan sudah tiba masanya untuk dia angkat kaki selepas merasai pelbagai pengalaman dalam arena sukan itu.

Pelumba kelahiran Perak itu, pernah menggegar dunia pemotoran dengan menjuarai GP Argentina dan Jerman dalam kategori Moto3 pada 2016, akan meninggalkan sukan itu seawal usia  22 tahun.

Super KIP juga menjadi pelumba pertama menyanyikan lagu Negaraku di atas podium MotoGP sejak 67 tahun kejohanan itu dianjurkan. 

Dalam wawancara bersama Nadi Arena,  dia berkata: “Apabila saya melihat beberapa perkara yang saya rasa tidak akan boleh meningkat, saya berfikir untuk bersara.

“Kerana apa yang memainkan peranan sebenarnya adalah orang di sekeliling kita. Sebagai satu keluarga, kalau keputusan kita (tidak bagus) cubalah untuk membantu tetapi untuk mencari orang seperti itu memang susah.

“Tetapi macam manapun, saya sudah dapat rasa semuanya sejak saya kecil dahulu sehingga sekarang.

“Sekarang saya mahu melupakan perlumbaan dan melakukan perkara yang boleh membuatkan saya gembira.

“Saya cuba untuk membantu ayah dan keluarga saya. Saya mahu membantu mereka.

“Sudah pasti saya terkenang (kejayaan menjuarai dua pusingan) kerana ia adalah impian saya,” katanya.

Dia menjelaskan setiap kali berlumba, dia mahu menang malah mahu berada di depan.

Katanya,  semua pelumba mahu menang dan itulah sasarannya sepanjang berkecimpung dalam sukan pemotoran.

“Cuma saya ada sedikit kecewalah tetapi macam mana pun, ia sudah lepas, jadi saya cuma tidak mahu pelumba Malaysia yang baru hendak meningkat menjadi seperti saya.

“Tetapi saya berbangga kerana saya merupakan rakyat Malaysia pertama menjadi juara dalam dua perlumbaan, di Argentina dan Jerman.

“Saya gembira dengan diri saya. Apapun yang saya buat selepas ini, saya tetap gembira kerana ia sudah cukup menggembirakan,” katanya lagi. – Nadi Arena

Google ads
Back to top button