
KUASA SEBENAR SUTER MMX500
Suter MMX500 inspirasi GP bakal melakukan kejutan pada penampilan di Carole Nash MCN London Motorcycle Show.
Dijana enjin 576cc V4 yang berasaskan kepada enjin 500cc GP, ia menjadi jentera pertama dihasilkan bagi pasaran awam. Produksinya juga terhad, cuma 99 unit sahaja.
Jentera itu hasil daripada buah fikiran Eskil Suter. Dia sentiasa ingin menghasilkan satu produk moden yang diterjemahkan daripada enjin GP lama 500cc 2 lejang. Berat superbike itu hanya 127kg dengan kuasa 195bhp!
Suter telah menumpukan masanya sejak beberapa dekad lalu dalam penghasilan enjin siri perlumbaan MotoGP, Moto 2 dan Moto 3. Pengalaman itu nyata menyumbang kepada pembangunan model MMX.
Enjin jentera ini mempunyai sistem pancitan bahan api elektronik, aci engkol berkembar, ekzos Akrapovic dan badan gentian karbon.
Suspensi hadapan menggunakan fork upside down Ohlin. Penyerap hentak itu boleh dilaras sepenuhnya. Roda OZ boleh dipilih sama ada magnesium atau aluminium. Tugas menghentikan tayar diserahkan kepada cakera Brembo 320mm.
Dijual pada harga £60,000 (RM362,000) seunit, model itu bakal dipertontonkan pada acara Carole Nash MCN London Motorcycle Show.






