NAIKKAN UMUR MINIMUM LESEN MOTOSIKAL KEPADA 19 TAHUN – PAKAR
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua mencadangkan had umur minimum pengambilan lesen motosikal B2 dinaikkan kepada 19 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, Dr Law Teik Hua berpendapat perubahan dasar itu perlu dipertimbangkan susulan berlaku peningkatan kemalangan maut penunggang motosikal dari 60 peratus kepada 75 peratus tahun lalu.
“Kita perlu mengurangkan pendedahan dan penggunaan motosikal terutama dalam kalangan remaja dengan menaikkan umur minimum menunggang motosikal daripada 16 tahun kepada 19 tahun.
“Perubahan dasar ini bertujuan mengurangkan bilangan penunggang muda yang kurang berpengalaman di jalan raya, seterusnya mengurangkan pendedahan mereka kepada risiko dan akhirnya menurunkan bilangan kematian dalam demografi ini.
“Salah satu cara paling berkesan untuk mengurangkan kemalangan berkaitan motosikal adalah dengan memisahkan motosikal dari kenderaan lain secara fizikal bagi mengurangkan kemungkinan perlanggaran antara motosikal dan kenderaan yang lebih besar.
“Cadangan saya, membina lebih banyak lorong motosikal khusus di kawasan kritikal contohnya konsep Lorong Motosikal Biru yang berjaya dilaksanakan di Sao Paulo, Brazil.
“Inisiatif ini mengurangkan kemalangan dan kecederaan motosikal dengan ketara dengan menyediakan ruang selamat yang khusus untuk penunggang motosikal serta mengelakkan konflik dengan pengguna jalan raya lain” katanya.
Jelas Teik Hua lagi, dasar yang lebih drastik ini perlu diambil ekoran mendakwa kempen keselamatan jalan raya tidak memberi impak berkesan. – Harian Metro