Buletin

GAMBAR INTIP: SMART #1 VERSI BRABUS SEDANG DIUJI. BAKAL TIBA DI PASARAN MALAYSIA TAK LAMA LAGI?

Smart #1 versi Brabus baru-baru dilihat sedang menjalani ujian jalan raya sekali gus menandakan bahawa model ini bakal berada di pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

Terdahulu, Proton menandatangani perjanjian kerjasama dengan jenama itu dan menubuhkan anak syarikat, PRO-NET, sebagai pengedar model berkenaan serta Kenderaan Tenaga Bharu akan datang.

Di China, kereta ini menerima reaksi positif apabila mencatatkan lebih 10,000 tempahan dalam tempoh 24 jam.

Dari segi dimensi, Smart #1 mempunyai ukuran sepanjang 4270 mm, 1,822mm (lebar), 1,636mm (tinggi) sementara jarak roda diletakkan 2,750mm.

Untuk rekod, ia memiliki ruang simpanan bagasi dari 273 liter hingga 411 liter dan kerusi belakang boleh dianjak depan sehingga 13 cm serta boleh dipisah secara 60:40.

Di dalam kabin, ia menampilkan ciri minimalis serta rekaan premium seakan kenderaan Mercedes-Benz. Antara kelengkapan bahagian dalam Smart #1 ialah skrin infotainment 12.8-inci dengan piksel 1920 x 1080, set audio premium yang terdiri daripada modul amplifier dan 13 pembesar suara termasuk subwoofer.

Perincian lain termasuklah kluster digital definisi tinggi (HD) penuh bersaiz 9.2-inci dan Paparan Atas (HUD) 10-inci.

Selain itu, ia juga menggunakan kaedah penukaran gear seperti Mercedes-Benz selain, dilengkapi dengan lampu ambien 64 warna.

Bagi versi Brabus, ia diserlahkan menerusi kemasan garisan merah, tempat duduk sport berwarna hitam, tali pinggang keledar warna merah, sementara logo Brabus diletakkan di tempat letak kepala.

Untuk keselamatan, Smart #1 dimuatkan bersama tujuh beg udara serta dilengkapi pakej ADAS seperti berikut:

  • Kawalan jelajah adaptif dengan fungsi Henti & Mula.
  • Sistem pengekalan laluan aktif.
  • Bantuan titik buta.
  • Bantuan lebuh raya dan kesesakan jalan raya.
  • Bantuan parkir automatik.
  • Bantuan lampu puncak adaptif.

Beralih kepada kuasa, Smart #1 versi standard dipacu oleh pacuan roda belakang dengan motor tunggal belakang, menghasilkan 268hp, tork 343Nm dan hanya mengambil masa 6.7 saat untuk memecut dari 0-100km/j.

Sistem pacuan empat roda pula terdiri daripada dwi-motor di mana ​​motor roda hadapan menghamburkan kuasa 154hp, tork 200Nm manakala motor di roda belakang, berupaya menjana 268hp, tork 343 Nm.

Secara keseluruhan, output maksimum dihasilkan ialah 422hp, tork pada 543Nm dan mencatat masa 3.9 saat untuk pecutan 0-100km/j.  

Untuk bahagian bateri, ia dilengkapi pek bateri 49kWj, mengikut perkiraan CLTC dan menawarkan jarak gerak sehingga 400km.

Versi prestasi tinggi Brabus didatangkan bersama pek bateri 66kWj, menawarkan jarak gerak 535km dan tempoh pengecasan 10 peratus hingga 80 peratus, hanya menelan masa kurang daripada 30 minit menerusi pengecasan pantas DC 150kW.

Smart #1 dijual pada harga bermula RM116,393 di China sementara versi Brabus boleh dimiliki dengan tanda harga bermula RM181,417. – Automachi

GALERI:

Google ads
Back to top button