Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG LAMBORGHINI HURACAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah Supercar dari Itali yang menjadi dambaan ramai iaitu Lamborghini Huracan.

Sebenarnya model Huracan ini membawa satu beban yang besar iaitu untuk menyaingi populariti model sebelumnya iaitu Gallardo. Hal ini kerana model Gallardo merupakan model yang paling sukses dari segi rekod produksi serta jualan dimana ia terjual sebanyak 14,022 unit sepanjang 10 tahun produksi dari tahun 2003-2013.

Adakah Huracan berjaya ?

Ye, mereka berjaya.

Produksi model Huracan telah mencatat pengeluaran sebanyak 14,000 unit hanya dalam masa 5 tahun sahaja bermula pada tahun 2014 sehingga sekarang 2019. Menjadikan model ini merupakan model Lamborghini yang terlaris di abad ini.

Mungkin angka ini tidaklah mengagumkan jika dibandingkan dengan pengeluaran kereta biasa. Namun harus diingat, jentera ini merupakan sebuah Supercar dimana tanda harganya bermula jutaan ringgit, bukan ribuan ringgit.

Baiklah, sekarang kita fokus pada pembangunan jentera ini.

Jentera ini lahir di Sant’Agata, Bolognese, Italy. Ia direka oleh Mr Filippo Perini. Mr. Filippo Perini ni merupakan bekas pereka Alfa Romeo circa 90-an dan Audi circa 2003. Sekarang beliau dimana ? Di Genesis (Hyundai) bersama dengan Mr. Luc Donckerwolker (pereka Gallardo).

Jentera ini juga dikenali dengan kod LP610-4. LP bermaksud “Longitudinale Posteriore” yang bermaksud kedudukan enjin menegak di belakang-tengah jentera. Angka 610 membawa maksud jentera ini memiliki 610 Metric Horsepower. 4 pula bermaksud jentera ini dipacu oleh keempat-empat tayar. Setiap kod membawa maksud tersirat. Hebat Lamborghini.

Nama Huracan pula bermakna “Hurricane” dalam bahasa Sepanyol. Nama ini diambil sempena nama lembu Matador yang popular pada tahun 1879.

Sekarang kita pergi pada enjin.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 5.2L V10 FSI Naturally Aspirated. NA, bukan Force Induction. Enjin ini diambil daripada model Gallardo Facelift dan ditala semula sehingga mampu menghamburkan kuasa sebanyak 610ps pada 8,250rpm dan 560Nm daya kilas pada 6,500rpm.

Kuasa yang dihamburkan ini pula dihantar ke kotak gear 7-kelajuan melalui sistem klac berkembar (Dual-Clutch) Lamborghini yang dikenali sebagai “Doppia Frizione”. Sistem ini adalah berbeza dengan Lamborghini Aventador yang menggunakan kotak gear 7-Kelajuan klac tunggal (Single-Clutch ISR).

Kuasa kemudiannya dihantar ke tayar melalui sistem pacuan semua roda yang dikawal secara elektronik dengan nisbah kuasa 30% hadapan dan 70% belakang.

Ia berfungsi sama seperti sistem Quattro (Audi), 4Matic (Mercedes Benz) dan Atessa-ETS (Nissan GTR) di mana nisbah penghantaran kuasa ke tayar berubah-ubah mengikut kesesuaian pemanduan.

Sistem suspensi jentera ini sudah semestinya menggunakan sistem “Double Wishbone” bagi depan dan belakang. Ia dibantu dengan penyerap hentak magnetik atau lebih dikenali dengan “Magnetorheological Dampers” yang bertindak cepat mengikut kesesuaian pemanduan. Bawa secara agresif ia akan keras. Bawa secara santai ia akan lembut untuk memberikan pengalaman pemanduan yang selesa.

Cesi jentera ini dibuat daripada kombinasi Carbon Fibre dan juga Alumunium. Dengan penggunaan dua bahan ini, a menjadikan cesi jentera ini sangat ringan tetapi kuat dan jitu memandangkan tujuannya dicipta adalah untuk disesah sehabis-habisnya.

Bahagian badan jentera ini pula menggunakan kombinasi Alumunium dan bahan sintetik. Dengan semua material ini, jentera ini hanya seberat 1,422kg sahaja. Ringan Tuan-Tuan.

Mungkin ada yang risau dengan aspek keselamatan. Maklumlah, kereta laju. Selamat atau tidak ? Jangan risau Tuan-Tuan. Jentera ini dilengkapi dengan beg udara. Jentera ini juga mempunyai “Collapsible Area” yang sengaja dibuat untuk menyerap hentaman pada hadapan dan belakang jentera.

Hal ini memastikan kabin berada di dalam keadaan baik jika kemalangan berlaku. Selain itu, ciri-ciri seperti ABS dan TCS dilengkapi sebagai ciri asas. NCAP Rating ? Jenama Supercar seperti Lamborghini dan Ferrari memang tak hantar jentera pada NCAP untuk dihancurkan.

Sistem brek jentera ini dilengkapi dengan rotor Carbon Ceramic bersaiz 380mm pada bahagian hadapan dan diapit oleh angkup brek 6 piston Monoblock. Bahagian belakang pula menerima rotor Carbon Ceramic bersaiz 356mm dan diapit oleh angkup brek 4 piston Monoblock.

Antara kelebihan rotor Carbon Ceramic selain daripada harganya yang mahal adalah ia tahan lama. Ada kalanya umurnya lebih lama dari pemiliknya sendiri. Hahaha. Gurau-gurau.

Strada, Sport dan Corsa. Apa ini ?

Ini merupakan 3 mod pemanduan utama yang terdapat bukan sahaja pada Huracan, namun pada hampir keseluruhan model Lamborghini. Strada bermaksud “Road/Street”. Oleh itu, mod Strada adalah sesuai untuk digunakan ketika pemanduan harian dimana jentera ini akan memberikan keselesaan yang maksimum beserta cengkaman yang hebat pada jalan. Maksudnya tak liar lah.

Sport pula bermaksud “Sukan”. Kah kah kah. Gurau je. Pemilihan mod Sport akan membuatkan jentera menjadi sedikit liar dimana jentera akan senang mengesot ketika pedal minyak ditekan. Suspensi pula akan terasa lebih keras sekalingus mengorbankan keselesaan yang ada. Adalah tidak disarankan menggunakan mod ini ketika hujan mahupun jalan sesak.

Corsa bermaksud “Race”. Mod yang memang ditala khusus untuk berlumba. Mod ini akan membuatkan jentera ini menterjemahkan kuasa penuhnya. Ketika ini jentera ini menjadi sangat liar.

610ps pada enjin NA bukanlah sesuatu yang senang dikawal. Respon adalah sangat cepat dan sekiranya tidak dikawal dengan baik, memang senang untuk hilang kawalan. Namun saya percaya, kebanyakan pemandu Lamborghini adalah mereka yang mempunyai etika dan tidak cuba melakukan perkara-perkara yang aneh.

Sekarang kita pergi ke bahagian dalaman.

Kemasan kulit merupakan ciri asas jentera ini. Kebiasaannya kemasan kulit pada kerusi serta papan pemuka akan dihiasi dengan jahitan benang berwarna sama seperti warna badan kenderaan. Sebagai contoh jentera anda berwarna kuning, papan pemuka jentera anda akan dihiasi dengan jahitan berwarna kuning juga. Namun, jika anda membeli unit baharu, anda boleh memilih sendiri sama ada jenis kulit mahupun jahitan. Nak letak nama sendiri pun boleh. “Money Talk”.

Buat julung kalinya juga pada jentera ini pihak Lamborghini memindahkan sistem “Infotainment” dari tengah ke Meter Utama. Semuanya ada di depan mata. Yang ada di tengah hanyalah “Aircond Vent” sahaja.

Kenapa begini ? Hal ini kerana pihak Lamborghini menyatakan pemandu akan dapat melihat apa yang mereka nak lihat tanpa mengganggu tumpuan ketika memandu. Semuanya tegak di depan mata.

Model ini juga merupakan model Lamborghini pertama yang menggunakan skrin sebesar 12.3 inci yang dibekalkan oleh Audi dan dikuasakan oleh Nvidia Tegra 3. Antara ciri yang ada ialah Bluetooth, Google Earth GPS Navigation dan Multi Media Interface.

Sampai disini rasanya sudah jelas tentang ciri asas jentera ini seperti enjin, transmisi, suspensi, cesi dan dalaman. Sekarang kita pergi kepada varian jentera ini.

Jentera ini sebenarnya mempunyai 6 varian. Setiap varian ini membawa kod berlainan sekaligus mempunyai nilai kuasa yang berbeza-beza. Antara varian tersebut adalah :-

LP610-4 Coupe
Perihal varian ini telah saya ceritakan panjang lebar di atas.

LP610-4 Spyder
Sama seperti model Coupe, bezanya cuma jentera ini tiada bumbung.

LP580-2 Coupe
Angka 2 dibelakang itu menandakan jentera ini hanya mempunyai pacuan belakang sahaja. 2WD sahaja. Bagi membolehkan jentera ini dikawal, enjin bagi model ini ditala semula dengan kuasanya direndahkan sedikit. Ye lah, kalau 610ps pergi ke tayar belakang sahaja agak liar untuk dikawal.

Jentera ini pada akhirnya mempunyai kuasa sebanyak 580ps pada 8,000rpm dan 540Nm daya kilas pada 6,500rpm. Jentera ini juga merupakan varian Huracan yang paling “murah”.

LP580-2 Spyder
Sama seperti LP580-2 Coupe, bezanya cuma tiada bumbung.

LP640-4 Performante
Produksi jentera ini hanya bermula pada rahun 2017. Jentera ini juga merupakan Huracan yang tertinggi sekali dalam hierarki keluarga Huracan. Seperti yang terdapat pada kod angkanya, jentera ini merupakan Huracan produksi yang paling berkuasa setakat ini dengan kuasa sebanyak 640ps pada 8,000rpm dan 600Nm daya kilas pada 6,500rpm.

LP640-4 Performante Spyder
Sama seperti LP640-4 Performante. Cuma tiada bumbung.

Jadi diatas saya telah terangkan tentang setiap varian yang ada. Dapat dilihat bahawa varian Performante merupakan varian paling tinggi. Satu je yang saya nak cakap. Jika anda memiliki atau mahu memiliki varian Performante, jangan diubah apa-apa pun terhadap jentera tersebut. Ia sudah cantik. Just leave it as it is !

Oh ya, dah cerita panjang lupa pula beritahu info yang sangat penting. Berapa Top Speed ?

Lebih 325km/h.

Mungkin ada yang cakap dengan harga sebegini banyak lagi pilihan-pilihan jentera yang boleh dibeli dan lagi laju daripada jentera ini. Namun, laju bukan semata-mata. Karisma yang ditonjolkan oleh sebuah Lamborghini Huracan adalah berbeza sama sekali.

Banyak yang bandingkan tentang kelajuan sesebuah jentera tu biasanya bawa 180km/h pun dah gigil lutut. Tapi sembang lebat. Kahkahkah.

Huracan Evo ?

Jentera ini dilancarkan pada pertengahan 2019. Enjin serta kuasanya berkongsi dengan varian Performante. Cuma ia menerima transformasi radikal pada sistem Aerodinamik yang memberikan jentera ini “Downforce” lebih 5 kali ganda berbanding varian-varian lain.

Rasanya sampai disini sudah jelas tentang cerita Lamborghini Huracan.

Di Malaysia, jentera ini sebenarnya sudah banyak di atas jalan. Sudah ramai yang mampu memilikinya. Terima kasih kepada AP Holder yang membawa masuk jentera ini dan dijual pada harga yang munasabah. Harga Lamborghini Huracan 2015 yang belum berdaftar adalah dalam lingkungan RM1.2 juta sehingga RM1.5 juta bergantung kepada spesifikasi. Bagi varian Performante 2017 belum berdaftar pula adalah sekitar RM1.8 juta sehingga RM2 juta bergantung kepada spesifikasi.

Harga bagi unit baharu daripada Lamborghini Malaysia pula bermula pada RM2.1 juta sahaja. Disini kita dapat lihat perbezaan hampir RM1 juta diantara model baru dan juga recon. Jauh bezanya Tuan-Tuan.

Ada yang tanya, kos penjagaan Lamborghini Huracan ini tinggi atau tidak ? Ada yang cakap tinggi, ada yang cakap tidak. Bergantung kepada kemana anda pergi dan siapa yang anda jumpa. Jika anda tanya saya, tidak lah tinggi sangat. Boleh jaga GTR maknanya anda mampu menjaga sebuah Huracan. Harga cukai jalannya pula sedikit tinggi berbanding Ford Mustang GT.

Semoga perkongsian kali ini dapat membantu anda untuk membeli Lamborghini Huracan.

Tags
Google ads
Back to top button