INILAH CARA BAGAIMANA GRAN TURISMO RAKAM BUNYI KERETA YANG REALISTIK – LAGI BEST DARI LAYAN LAGU K-POP
Satu persidangan yang dinamakan CEDEC + KYUSHU 2023 telah diadakan pada November tahun lepas dan salah satu persembahan teknikal telah berjaya menarik perhatian kami. Ia menunjukkan bagaimana para jurutera bunyi Polyphony Digital bekerja dalam usaha merakam bunyi kereta untuk dimuatkan dalam permainan Gran Turismo.
Lebih menarik bila satu video dimuatnaik menunjukkan mikrofon, teknik dan perisian yang digunakan untuk membolehkan kereta-kereta dalam permainan popular tersebut hasilkan bunyi seperti kereta sebenar.
Gran Turismo memang sebuah permainan video tapi ia dipasarkan sebagai simulasi pemanduan sebenar. Ini bermakna kumpulan jurutera Polyphony Digital perlua berusasa keras untuk menjadikan permainan ini seolah-olah sebuah kereta sebenar. Bukan hanya pada rupa paras kereta tapi juga pada dinamik pemanduan dan juga bunyi. Ingat kecil anak punya proses ke nak buat permainan macam ni.
Sepanjang 25 tahun usia Gran Turismo, para jurutera bunyi ini telah merakam lebih 1700 buah kereta dan cara rakaman diambil juga sudah banyak berubah dan menjadi semakin maju. Kalau pada peringkat awal dulu mereka menggunakan sistem dua saluran dengan pita audio 16-bit digital untuk merakam bunyi enjin dan ekzos, kini semuanya sudah berubah.
Mereka kini menggunakan sistem lapan saluran dengan perakam 24-bit untuk merakam bukan hanya bunyi enjin dan ekzos tapi juga bunyi sistem kemasukan, dalaman dan juga tayar. Ya.. bunyi tayar sedang menggelongsor dan membuat pecutan juga turut dirakam.
Sebelum pelancaran Gran Turismo Sport, pasukan ini telah menguji lebih 50 jenis mikrofon sebelum memilih setiap satu untuk kegunaan yang berbeza-beza. Satu mikrofon dipilih untuk merakam bunyi kemasukan udara ke enjin, satu lagi untuk bunyi enjin dan tiga mikrofon berbeza untuk merakam bunyi ekzos. Tu dia aihh. Power betul tahap diorang bekerja.
Mereka juga bekerjasama dengan pelbagai pengeluar tayar berbeza untuk membuat rakaman bunyi tayar yang tepat. Kereta yang dipilih dirakam di litar berbeza-beza di sekitar Jepun, America dan Scandinavia.
Bunyi tayar turut dirakam di atas permukaan yang berbeza-beza termasuklah jalan berturap, berbatu, berlumpur, basah dan bersalji.
Sistem Advanced Engine Sound Synthesizer (AES) digunapakai untuk hasilkan bunyi enjin bagi kenderaan yang tidak wujud. Gran Turismo turut mempunyai audio 3D. Ia membuatkan penonton mendengar bunyi seperti dari empat arah yang berbeza.
Komitmen inilah yang menjadikan Gran Turismo satu francais permainan video yang sangat berjaya. Saya nak bagi tahu yang abang dulu dari zaman PS1 dah ada lesen ‘S’ Gran Turismo.