
SUZUKI GSX-250R DILANCARKAN DI CHINA: 2 SELINDER, DOHC, 24.7HP, 23.4NM
Suzuki mengejutkan industri motosikal hari ini dengan pelancaran keluarga yang paling ditunggu-tunggu tahun ini – GSX-250R. Lebih unik lagi, ia bukan dilancarkan di India seperti yang disangka, tetapi dilancarkan di China dalam pameran CIMAMOTOR 2016 yang sedang berlangsung.
Ramai yang mengandaikan Suzuki akan memperkenalkan Gixxer 250 ini di pameran INTERMOT Jerman lalu, namun Suzuki sebalikny menampilkan Gixxer paling kecil mereka GSX-125R. Selepas INTERMOT, satu lagi pameran terbesar di Eropah ialah EICMA di Milan Itali pada bulan depan dan sepatutnya, ia pentas paling tepat.
Namun Suzuki mengambil keputusan memperkenalkannya di China, salah satu pasaran motosikal terbesar di dunia. Di China, Suzuki bekerjasama dengan Haojue Holdings (sebelum ini dengan Nanjing Jincheng Machinery)
GSX-250R ini dikuasakan oleh enjin 2 selinder DOHC 4 injap 248cc dengan output kuasa 24.7 kuasa kuda pada 8,000rpm dan 23.4NM daya kilas pada 6,500. Ia dipadankan dengan sejukan cecair dan transmisi 6 kelajuan.
Sejak penghujung tahun lepas, Suzuki Motor giat membangunkan GSX suku liter mereka untuk bersaing dengan pasaran CBR 250RR, Yamaha R25 dan Ninja 250R.
Motosikal ini kerap dilihat diuji di jalanraya dan yang terbaru pada bulan lepas. Jika mengikut percaturan Suzuki, ia akan jadi model sport terkini pilihan bagi pembeli Inazuma 250cc.
Apakah akan masuk ke pasaran Malaysia? Kalau mengikut pada keadaan terkini Suzuki Assemblers Malaysia, adalah sukar untuk melihatnya dibawa masuk sebagai unit CBU. Suzuki Malaysia sedang bergelut dalam perniagaan dengan pasaran yang kecil dan lembap.
Tapi siapa tahu kan?