Motosikal

SUZUKI GSX-R1000 SEMAKIN JADI KENYATAAN

Akhirnya, Suzuki mendedahkan versi baharu GSX-R1000 L7. Simbol L7 merujuk kepada tahun model berkenaan. Walaupun ia merupakan model 2017. Namun, pihak Suzuki menyatakan sportbike berkuasa tersebut akan dilancarkan pertengahan 2016.

GSX-R1000-mekanika (7)

Model konsep yang ditayangkan pada EICMA 2015 itu didakwa model GSX-R paling ringan, berkuasa dan menawarkan pengendalian terbaik yang pernah dibangunkan oleh Suzuki.

Berdasarkan kenyataan daripada Suzuki, model konsep Suzuki GSX-R banyak mengambil teknologi jentera MotoGP.

GSX-R1000-mekanika (4)

Pada bahagian janaan kuasa, GSX-R1000 L7 dilengkapi enjin 999cc VVT. Ia mampu menghasilkan kuasa 200hp dan tork setinggi 82ftlb. Jika tork berkenaan adalah tepat, nampaknya GSX-R1000 berada pada tangga kedua di bawah Ducati 1299 Panigale . Lebih menarik, jentera berkenaan hanya seberat 200kg.

Model superbike tersebut turut didatangkan dengan pelbagai sistem bantuan elektronik. Antaranya ialah 10 peringkat traction control, selectable fuel maps, bi-directional quick shifter dan launch control.

GSX-R1000-mekanika (2)

Namun begitu, bagi model kali ini ciri IMU tidak ditawarkan. Menurut Suzuki, penunggang tidak memerlukan ciri tersebut.

Keselesaan tunggangan dibantu oleh fork Balance Free Front (BFF) daripada Showa dan penyerap hentak Balance Free Rear Cushion (BFRC). Unit sama yang dapat dilihat pada Kawasaki ZX-10R 2016.

GSX-R1000-mekanika (8)

Kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya dan menawarkan pengendalian di tahap terbaik dalam apa jua permukaan jalan.

Dalam hal peningkatan aerodinamik, cowling turut diperbaharui. Dari segi gayaan, lampu depan GSX-R1000 tampil unik dengan saiz lebih kecil. Rekaan bahagian belakangnya juga tampil garang dengan reka bentuk lebih tirus. Bahagian lampu dan indikator didatangkan dengan ciri LED sepenuhnya.

GSX-R1000-mekanika (1)

Difahamkan model berkenaan akan didatangkan dengan dua versi. Namun harga dan maklumat lengkap jentera berkenaan masih belum didedahkan.

Kehadiran versi baharu GSX-R1000 ini pastinya menghangatkan segmen sportbike 1000cc. Model Yamaha R1 sudah terlihat fenomena, sementara ZX-10R begitu mengujakan. Malah, kehadiran CBR1000RR tahun hadapan pasti memeriahkan lagi segmen berkenaan.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button