Buletin

SUZUKI RANCANG LABUR RM5.7 BILION UNTUK HASILKAN EV DAN BATERI DI INDIA 

Suzuki Motor merancang untuk melabur sebanyak 104.4 bilion rupee (RM5.76 bilion) ke atas kilang pemasangannya di India bagi  menghasilkan kereta elektrik (EV) dan bateri. 

Perkara itu disahkan sendiri oleh Maruti Suzuki India. Ia merupakan pelan EV utama yang diumumkan dalam usaha untuk selari dengan strategi India mengurangkan kebergantungan ke atas minyak dan pencemaran di bandar-bandar utama. 

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang melawat rakan sejawatannya, Narendra Modi baru-baru ini mengumumkan pelaburan Jepun berjumlah AS$42 bilion (RM176.5 bilion) di India untuk tempoh lima tahun akan datang. 

Suzuki Motor Gujarat Private akan melabur 31 bilion rupee (RM1.72 bilion) menjelang tahun 2025 untuk meningkatkan kapasiti pengilangan bateri EV dan 73 bilion rupee (RM4.05 bilion) bagi pembinaan kilang bateri.  

“Misi masa depan Suzuki adalah untuk mencapai neutraliti karbon menerusi kereta-kereta kecil,” kata Presiden Suzuki Motor, Toshihiro Suzuki.

Pada masa sekarang, Tata Motors merupakan penjual EV terbesar di India, diikuti oleh Mahindra & Mahindra dan pembuat motosikal TVS Motor. 

Google ads
Back to top button