Buletin

BMW DEDAH X3 sDRIVE20i.HARGA BERMULA RM286,674.

BMW Malaysia mendedahkan model terbaharu dalam portfolio Sports Activity Vehicle (SAV) premium bersaiz sederhana X3 sDrive20i yang dipasang secara domestik.

Jentera terbaharu itu yang dilengkapi aplikasi My BMW App bakal menawarkan kuasa pilihan dan kebebasan kepada pengguna di negara ini untuk membawa pulang BMW X3 yang menepati cita rasa mereka.

BMW X3 sDrive20i ditawarkan pilihan warna putih (Alpine White), perak (Glacier Silver), hitam (Black Sapphire) dan biru (Phytonic Blue) dan dijual pada harga bermula dari RM286,674.

Kesemua tawaran warna eksterior dipadankan dengan upholsteri Leather Vernasa berwarna hitam berserta dengan sulaman hitam.

Rekaan X3 sDrive20i menampilkan bahasa rekaan sporty diserlahkan dengan bahan aluminium, BMW Individual Exterior Line dan rel bumbung menggunakan Aluminium Satinated.

SAV dipasang di dalam negara itu dilengkapi gril kidney radiator dan pakej xLine dipadankan lampu hadapan LED dan Extended Contents pada bahagian lampu isyarat.

Selain itu, ia didatangkan set roda aloi ringan 19 inci dalam penggayaan Y-Spoke 694 dibaluti tayar ‘runflat’ menyerlahkan lagi sisi padu BMW X3 terbaharu ini.

Ruang dalaman pula, hadir dengan kemasan dalam rona warna hitam glos tinggi dan Pearl Chrome, cermin dalaman serta eksterior dipadankan fungsi anti silau automatik.

BMW X3 sDrive20i mendapat sentuhan kerusi sport dalam memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang hadapan.

Pemandu juga dapat menikmati kemudahan untuk melaras kerusi secara elektrik disepadukan fungsi memori.

Aspek keselesaan diteruskan dengan hamparan lantai velor, pencahayaan ambien, sistem penyaman udara automatik tiga zon dan sistem HiFi dengan 12 pembesar suara.

BMW X3 sDrive20i mendapat khidmat enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum 184 hp kuasa pada 5,000 – 6,500 rpm dan tork 300 Nm pada 1,350 – 4,000 rpm.

SAV baharu ini dipadankan transmisi automatik Steptronic 8 kelajuan dengan Automatic Hold Function mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j.

Emisi karbon dihadkan pada paras lebih rendah dengan kadar 163 g/km, begitu juga dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah, iaitu 7.1 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km.

Dari segi infotainmen, ia menawarkan paparan kawalan 10.25 inci dengan fungsi sentuh dipadankan panel instrumen Sensatec dan komponen kawalan dengan Galvanic Embellishers.

Ia juga ditawarkan bersama BMW Live Cockpit Plus serta BMW Intelligent Personal Assistant.

Antara ciri-ciri menarik lain termasuk Bantuan Memandu serta Bantuan Parkir, Panggilan Kecemasan Pintar dan Comfort Access System.

BMW X3 sDrive20i baharu kini tersedia di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di Semenanjung Malaysia, dan akan disediakan di Sabah dan Sarawak pada 20 April 2021.

Para pelanggan boleh membuat pra-tempahan dengan bayaran RM 1,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/.

Pemilik jentera BMW X3 sDrive20i baharu juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card dan Servis Dalam Talian BMW.

Google ads
Back to top button