
HONDA MALAYSIA LANTIK NARUSHI YAZAKI SEBAGAI PENGARAH URUSAN, CEO BAHARU
Honda Malaysia mengumumkan pelantikan Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, menggantikan Hironobu Yoshimura yang menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas tiga tahun memimpin syarikat tersebut.
Dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam keluarga Honda, Yazaki bukan asing dalam dunia automotif.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang pelbagai peranan penting di peringkat antarabangsa termasuk di Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat.

Sebelum menyertai Honda Malaysia, beliau berperanan di bahagian Operasi Pentadbiran Korporat di ibu pejabat Honda Motor Co., Ltd. di Tokyo.
Mengulas mengenai pelantikan ini, beliau menyatakan rasa teruja untuk menerajui operasi Honda di Malaysia, disifatkannya sebagai pasaran yang strategik dan berkembang pesat dalam rantau Asia dan Oceania.
“Saya berhasrat untuk memperkukuh lagi pencapaian yang telah dibina serta memacu pertumbuhan Honda Malaysia ke tahap lebih cemerlang,” katanya.
Dalam masa yang sama, Honda Malaysia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yoshimura atas sumbangan besar beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Di bawah kepimpinannya, Honda Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan teratas dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama 11 tahun berturut-turut, selain melalui fasa pemulihan pasca pandemik dengan cemerlang.
Kini kembali ke ibu pejabat di Tokyo, legasi yang ditinggalkan oleh Yoshimura akan menjadi asas penting kepada hala tuju baharu di bawah kepimpinan Yazaki.