Buletin

TAK PAYAH CETAK SIJIL DIGITAL. CUMA TUNJUK APLIKASI MYSEJAHTERA, KAD VAKSIN

Orang ramai yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 tidak perlu mencetak sijil digital pengesahan untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa ketika melalui sekatan jalan. 

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali kerana terdapat segelintir individu yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain dikatakan mencetak sijil digital pengesahan tersebut. Sedangkan mereka hanya  hanya perlu menunjukkan sijil digital dalam aplikasi MySejahtera kepada penguat kuasa.

“Tidak perlu cetak sijil tersebut, cukup tunjukkan aplikasi MySejahtera melalui telefon bimbit kepada pegawai di SJR dan mereka akan lihat dengan teliti.

“Selain kaedah itu, setiap individu yang lengkap divaksin juga ada menerima kad vaksinasi, itu juga boleh ditunjukkan sebagai bukti. Setakat ini, hanya itu sahaja SOP yang ditetapkan kerajaan. 

“Masing-masing ada kad itu. Saya pun pernah jumpa rakyat yang laminate kad berkenaan untuk disimpan seperti MyKad. Itu boleh dijadikan buktika jika telefon habis bateri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Dewan Kemas Gopeng di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes penjualan sijil digital pengesahan individu telah lengkap disuntik vaksin Covid-19 dalam platform e-dagang yang dikesan di Kedah semalam.

Menurut Azmi, siasatan akan dijalankan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan KKM berkaitan dakwaan penjualan sijil digital itu bagi memastikan kesahihannya sekali gus membolehkan tindakan segera diambil. Setakat ini, KKM sudah menerima satu kes dan laporan polis di Kedah. – Utusan Malaysia 

Google ads
Back to top button