Artikel PilihanMotosikal

TEKNOLOGI HELMET ARAI – PATUTLAH HARGANYA MAHAL TUAN-TUAN…

Anda seorang penunggang motosikal? Pernah dengar nama Arai? Tak pernah? Itu maknanya hidup anda belum cukup syarat. Tanya saja kaki-kaki motor di seluruh Malaysia hampir semua mereka pernah mendengar nama Arai. Ada yang memiliki koleksi helmet bernilai tinggi ini walaupun hanya menunggang Honda EX5 yang dah nak barai.

Ada banyak sebab helmet ini menjadi pilihan, satu daripadanya ialah keunikan helmet ini berbanding helmet gred tinggi yang lain. Namun bagi sebuah helmet, sebenarnya yang paling penting ialah ketahanan dan kemampuan memberikan perlindungan sehingga ke saat akhir jika terlibat dalam kemalangan.

Sebenarnya apa saja helmet jika dipakai dengan betul mampu memberikan perlindungan kepala anda. Walaupun helmet itu buatan China yang murah sekalipun. Tapi jika anda terlibat dalam kemalangan dan ingin meningkatkan peratus keselamatan anda, helmet dengan kualiti premium akan memberikan perlindungan yang lebih baik.

arai_tour-x_3_luster_orange

Satu lagi kelebihan menggunakan helmet Arai ialah tentang kualiti helmet itu sendiri. Jika membeli helmet Arai, anda tidak akan diberikan pilihan sama ada mahukan Arai yang bagus ataupun Arai yang tidak bagus. Mereka juga tidak menyediakan helmet Arai yang istimewa untuk penunggang tajaan syarikat mereka.

Jika anda membeli helmet Arai dengan warna asas yang standard sekalipun, kualiti buatannya tetap sama dengan Arai yang digunakan oleh Dani Pedrosa, Nicky Hayden, Cal Crutchlow dan ramai lagi penunggang yang ditaja oleh Arai. Satu standard untuk semua. Kami berharap satu hari nanti mungkin kita dapat lihat penunggang MotoGP menggunakan helmet Apollo. Siapa tahu kan?

BACA – SHOEI CATAT SKOR LIMA BINTANG

BACA – ARAI EDISI ULANGTAHUN HONDA NSR

Setiap kali kita membeli helmet Arai dan membuka kotaknya, ramai yang akan terpegun dengan begnya yang cantik, pelincir visor dan segala macam kemasan terperinci yang diberikan buat pemilik baru Arai. Boleh dikatakan Arai sudah berada dalam liga yang sama dengan Oakley, Rolex ataupun Aston Martin. Kalau mangga kunci keselamatan pun rasanya dah taraf Solex original ni. Solex kedai 2 Ringgit tak kira tau. Tapi sebenarnya sesuai sangatlah dengan harga yang kita bayar untuk helmet ni. Harga sebiji yang baru pun dah lepas sebuah 125Z second-hand.

HELMET ARAI (3)

Falsafah buatan Arai sangat mudah. Mereka mahukan lapisan luar yang nipis tetapi mestilah kuat dan tahan lasak. Untuk itu biasanya pengeluar lain akan menggunakan material gentian kaca ataupun fibreglass yang diakui ringan tetapi kuat dan tahan lasak. Arai berada setapak kehadapan berbanding teknologi fibreglass biasa kerana mereka memperkenalkan teknologi gentian baru yang dinamakan “superfibre”. Mereka mendakwa material baru ini adalah 40 peratus lebih kuat berbanding fibreglass biasa.

Menggunakan teknologi kelas aeroangkasa ini juga menjadikan helmet mereka lebih canggih berbanding helmet fibreglass biasa. Lapisan luar direka khas agar mampu menyerapkan dan menyebarkan hentakan secara selamat sekaligus mengurangkan impak kepada lapisan dalam.

Tak faham? Sebab sekarang musim durian kita ambil contoh durian. Buah durian jatuh dari ketinggian yang melangit tetapi isinya sedikit pun tak rosak atau hancur. Ini kerana lapisan kulitnya telah menyerap hentakan dan mengurangkan kerosakan dari merebak ke bahagian dalam. Faktor duri juga mungkin bertindak menyebarkan daya hentakan keseluruh bahagian luar. Hmm, lepas ni jangan terkejut kalau ada helmet berduri. Kalau ada pun mesti idea saya ni. Lepas ni saya mesti daftar idea ni sebagai harta intelek.

HELMET ARAI (7)

Ketebalan lapisan luar helmet ini juga berbeza-beza. Bahagian yang diyakini kurang menerima impak sewaktu kemalangan adalah lebih nipis seperti bahagian telinga. Manakala bahagian depan dan belakang adalah lebih tebal. Bahagian yang berhubung dengan visor juga direka agar lebih tebal dan kuat.

Sebuah helmet yang bagus mestilah sangat ringan kerana ia dipakai di bahagian kepala. Siapa nak letak batu bata atas kepala kan? Lebih ringan lebih baik, apatah lagi jika seorang penunggang itu tidak sedarkan diri akibat kemalangan. Helmet yang ringan tetapi kuat semestinya lebih membantu sewaktu dan selepas kemalangan. Menyenangkan sedikit kerja paramedik. Inilah salah satu kelebihan helmet keluaran Arai.

Setiap helmet Arai merupakan produk buatan tangan oleh Syarikat Arai di Jepun. Setiap lapisan helmet yang dibina mesti melalui 27 langkah dalam proses pengeluaran dan mengambil masa 18 jam untuk disiapkan. Ini bukan helmet MS88 yang berharga RM20 sebiji.

HELMET ARAI (8)

Di bahagian dalam helmet biasanya terdapat lima lapisan perlindungan termasuk lapisan polistrin biasa. Ianya amat penting bagi memperlahankan gegaran otak dari menghentam bahagian dalam tengkorak sewaktu kemalangan. Jika proses ini berjaya maka peluang untuk selamat adalah lebih tinggi, kerana kecederaan dalaman khususnya pada bahagian kepala adalah antara penyumbang utama kepada kematian penunggang motosikal. Inilah beza helmet Arai dengan helmet bajet yang lain.

Tapi anda harus memastikan kunci “D” pada helmet Arai dikunci dengan sempurna. Jika anda baru pakai, mungkin sedikit janggal untuk pakai kunci jenis ini tetapi bila sudah biasa bukan lagi satu masalah. Ianya cukup mudah dipasang dan ditanggalkan. Tapi kalau dah malas nak pasang kunci tali helmet, pakai helmet jet pejuang pun susah nak selamat bang.

HELMET ARAI (9)

Keselesaan juga adalah satu faktor utama yang diberikan perhatian oleh Arai. Bagi peminat Arai mereka boleh memakai helmet ini seharian kerana ianya begitu selesa. Kalau tergamak pakai masa tidur pun, silakan.

Namun harus diingat Arai juga tidak mampu disesuaikan dengan semua bentuk kepala. Jadi, sebelum membeli pastikan sebuah helmet itu menepati bentuk kepala anda untuk keselesaan. Ini bukannya pelaburan yang berharga RM35. Pastikan ianya mampu dipakai dengan kemas dan selesa. Jangan sesekali memakai helmet yang longgar atau terlalu besar. Ini bukan serban atau songkok yang boleh pilih acuh tak acuh saja. Helmet yang betul bakal menentukan hidup matinya kalau terlibat dalam kemalangan.

Google ads
Back to top button